PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menganggarkan banyak syarikat berkemungkinan tutup operasi menjelang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang berkuatkuasa esok terutamanya melibatkan syarikat yang memerlukan pengoperasian 24 jam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kemungkinan penutupan operasi berlaku disebabkan oleh penetapan had operasi dan pengurangan pekerja sehingga 60 peratus jika mahu beroperasi.
Katanya, syarikat-syarikat industri yang beroperasi 24 jam sebelum ini akan menghadapi banyak permasalahan akibat tidak dapat menjalankan pengoperasian pada skala yang penuh.
“Kita kena faham bahawa kitaran operasi industri beroperasi 24 jam ini tidak boleh berhenti. Jika berhenti, ia boleh menyebabkan kos produktiviti, masalah mekanikal dan banyak perkara serta kos lain lagi. Ini yang tidak difahami oleh pihak kerajaan dan seharusnya mereka duduk bersama untuk memahami perkara itu.
“Apabila syarikat industri tidak dapat mengaturkan pengeluaran secara mapan untuk menentukan pulangan yang baik kepada syarikat, kemungkinan banyak syarikat mengambil tindakan penutupan operasi sementera. Namun, peratusan tidak dapat dianggarkan kerana belum bermula 1 Jun,” katanya.
Jumaat lepas, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan dalam kenyataannya bahawa penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama dilaksanakan di seluruh negara selama dua minggu bermula esok.
Keputusan itu dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tambah Abdul Halim, kerajaan seharusnya mengambil iktibar daripada PKP 1.0 dengan mengadakan perbincangan bersama rakan sosial dan pemain-pemain industri pada pelaksanaan PKP penuh kali ini.
Katanya, perkara itu menyebabkan sukar bagi kerajaan untuk memahami keperluan dan persediaan yang harus disediakan kerana ia membabitkan ekonomi syarikat, pekerja dan bukannya ekonomi kerajaan.
“Kenapa kerajaan tidak mencari alternatif yang membolehkan pekerja bekerja dan majikan menjalankan operasi syarikat. Sediakan pengangkutan kendiri, jalankan prosedur operasi standard (SOP) 100 peratus, saringan di tempat kerja dan sebagainya,” katanya.
Menurut beliau, dengan adanya pelaksanaan sebegitu, ia membolehkan pekerja daripada bercampur dengan orang awam atau orang lain selain daripada pergi bekerja sahaja.
“Kalau perkara ini tidak boleh dibincangkan sebaik mungkin untuk memberi peraturan menang-menang sambil ‘berperang’ dengan pandemik, maka sekiranya kita ‘berperang’ tanpa adanya ekonomi boleh membuatkan negara bankrap dan perang tidak menang.
“Sepatutnya kita berperang dengan disokong oleh ekonomi yang terus bergerak. Kita sebagai rakyat memang mahu menyokong tindakan kerajaan, tetapi sebagai rakyat juga mahu ekonomi untuk terus hidup,” katanya. – UTUSAN ONLINE










