Penduduk Taman Terendak Permai terima bantuan makanan - Utusan Malaysia

Penduduk Taman Terendak Permai terima bantuan makanan

SHAHRIN Muharram (dua dari kanan) dibantu tiga pekerjanya menyerahkan pelbagai barangan makanan kepada penduduk Taman Terendak Permai, Sungai Udang, Melaka yang menjalani kuarantin selepas 24 penduduk positif Covid-19. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 290 penduduk daripada 112 keluarga di Taman Terendak Permai, Sungai Udang dekat sini yang sedang menjalani perintah kuarantin sejak Jumaat lalu menerima sumbangan bakul makanan.

Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Shahrin Muharram berkata, pengagihan bantuan awal makanan itu adalah bagi membantu penduduk yang terjejas selepas 24 daripada mereka didapati positif Covid-19.

Menurutnya, kesemua penduduk menerima bantuan makanan seperti beras, minyak masak, gula, tepung, telur dan susu bagi meringankan beban mereka yang kini menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

“Penduduk tidak perlu bimbang sewaktu menjalani kuarantin di rumah masing-masing kerana pelbagai bantuan akan terus diterima mereka.

“Kita akan pastikan tidak ada satu keluarga yang tercicir untuk menerima bantuan jika ada mana-mana penduduk yang terjejas boleh membuat aduan awal,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas penyerahan sumbangan terbabit di sini.

Penduduk di Taman Terendak Permai diarahkan Jabatan Kesihatan negeri untuk menjalani kuarantin di kediaman masing-masing selepas 24 penduduk di situ positif Covid-19.

Kes tersebut dikesan di sebuah surau sehingga merebak dalam kalangan ahli keluarga hingga mewujudkan Kluster Taman Terendak Permai.

Surau terlibat pula telah diarahkan tutup sementara waktu sejak Jumaat lalu.

Pada masa yang sama, Shahrin turut menasihatkan penduduk supaya mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kes indeks di taman itu melibatkan seorang lelaki berusia 66 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 hingga menular kepada penduduk lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN