Pendapatan peniaga terjejas akibat berita palsu - Utusan Malaysia

Pendapatan peniaga terjejas akibat berita palsu

JAAFAR Uthman menunjukkan laporan polis yang dibuat mengenai berita palsu kononnya pasar malam ditutup sepanjang PKP di Balai Polis Manjoi, Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Peniaga pasar malam di daerah ini kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu mengenai penutupan pasar malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengerusi Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Pasar Malam Melayu Bergerak Bahagian Kinta, Jaafar Uthman, 60, berkata, penularan berita tersebut menyebabkan keadaan pasar malam lengang ekoran peratusan pengunjung merosot dengan teruk.

Katanya, keadaan itu amat membimbangkan kerana rata-rata peniaga bergantung sepenuhnya kepada jualan di pasar malam sebagai sumber utama pendapatan mereka.

Menurut beliau, sejak berita itu tular semalam, kehadiran orang ramai ke pasar malam merosot dengan hanya kira-kira 20 peratus pengunjung.

“Berita itu menyebabkan mereka takut dan was-was untuk datang ke pasar malam sedangkan operasi pasar malam adalah dibenarkan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berhubung berita palsu itu di Balai Polis Manjoi di sini hari ini.

Jaafar memberitahu, pihaknya sentiasa memastikan operasi pasar malam di daerah ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, di bawah persatuannya sendiri, terdapat sembilan pasar malam beroperasi setiap minggu dengan melibatkan lebih 800 peniaga.

“Apabila pendapatan kami terjejas, siapa yang mahu bertanggungjawab? Orang berniaga ini gunakan modal, jika pendapatan merosot bagaimana kami mahu pusing semula modal? Keadaan ini amat mengecewakan kami,” katanya.

Tambahnya, berita tular itu sebenarnya SOP untuk PKP 1.0 tetapi disebarkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab yang akhirnya menjejaskan peniaga.

“Kita minta mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu tanpa memikirkan akibat perbuatan itu kepada peniaga kecil. Kami ada keluarga, ada tanggungjawab. Dalam keadaan sekarang, ramai yang terjejas, jadi jangan sukarkan lagi kehidupan kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN