Pemuda UMNO gesa henti penjualan LTSAAS kepada WCT - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO gesa henti penjualan LTSAAS kepada WCT

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang oleh syarikat WCT Bhd. (WCT) dikhuatiri mengenepikan kepentingan rakyat bagi mendapatkan caj perkhidmatan penumpang yang berpatutan.

Lantaran itu, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak, perancangan pengambilihan daripada Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) melalui anak syarikat, Subang Skypark Sdn. Bhd. dibatalkan.

Antara alasan yang dikemukakan adalah, lapangan terbang itu sebagai aset strategik negara mempunyai kepentingan terhadap keselamatan dan tidak wajar dilepaskan kepada pihak swasta bagi tujuan memaksimumkan keuntungan.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, MAHB wajar terus diberikan mandat sebagai pengendali lapangan terbang di LTSAAS kerana selain berstatus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ia juga mempunyai reputasi baik sebagai operator lapangan terbang dalam dan luar negara.

“Cadangan oleh WCT Berhad dibuat dengan tergesa-gesa dan dilihat mengambil kesempatan di kala kekeliruan negara sedang dilanda gelombang baru wabak pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.

“Cadangan ini difahamkan cuba diangkat tanpa melibatkan entiti penting seperti Kerajaan Negeri Selangor, Unit Perancang Ekonomi (EPU) JPM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam hantaran Facebook itu, beliau menyatakan tujuh asas LTSAAS tidak wajar dijual kepada WCT dan perlu kekal berada di bawah MAHB sebagai pengendali asalnya.

Tambahnya, jika pengambilalihan itu diteruskan, pembangunan LTSAAS akan tersasar jauh daripada perancangan yang dibuat oleh MAHB sendiri termasuklah sasaran mewujudkan peluang pekerjaan.

“MAHB mempunyai kepakaran, keupayaan dan pengalaman untuk melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Lapangan Terbang Subang ini termasuklah perlaburan berjumlah RM1.3 billion yang dibiayai sendiri

“Pelan ini bertujuan untuk meletakkan Subang sebagai Hub Aeroangkasa Global yang boleh mencipta lebih 19,000 pekerjaan berpendapatan dan berkemahiran tinggi dan seterusnya menyokong sebanyak 74,000 pekerjaan dalam keseluruhan ekonomi,” jelasnya.

Justeru, Asyraf Wajdi menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak meneruskan pendekatan Pakatan Harapan (PH) dahulu yang menjual aset-aset strategik negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya