JELEBU: Seorang Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban maut selepas terbabit dalam nahas dua buah kenderaan di Kilometer 33.3, Jalan Seremban-Simpang Pertang, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Syed Mohammad Nor Syed Sahil, 57, beralamat di Kampung Belai Hulu, Peradong disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal jenis Yamaha MT15 yang ditunggangi mangsa dan kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X70 yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu Proton X70 dari arah Seremban menuju ke Simpang Pertang. Setibanya di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan dan tiba-tiba datang mangsa dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran.
“Mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan di sini.
Maslan berkata, mayat mangsa di hantar ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Susulan kemalangan berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.
Pasukan bomba membantu mengangkat mangsa yang tercampak ke bawah tebing bukit setinggi tiga meter.










