Pecutan akhir terbantut - Utusan Malaysia

Pecutan akhir terbantut

FITRI HAKIM melihat stok baju Melayu yang masih banyak di tapak perniagaannya ketika PKP bakal dilaksanakan di seluruh negara termasuk Perlis esok di Bazar Aidilfitri Taman Sena, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Luluh hati para peniaga di bazar Aidilfitri sekitar negeri ini selepas mengetahui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dilaksanakan di negeri ini sekali gus bakal menyebabkan perniagaan mereka terjejas.

Rata-rata peniaga pada mulanya cukup berharap dapat melakukan pecutan terakhir bagi meraih keuntungan atau sekurang-kurangnya mendapat kembali pulangan modal menjelang malam raya namun dikejutkan dengan pelaksanaan PKP.

Bagi peniaga, keputusan kerajaan melaksanakan PKP secara ‘pukul rata’ termasuk di Perlis yang masih kekal sebagai zon hijau Covid-19 cukup mendukacitakan.

Seorang peniaga baju Melayu di bazar Aidilfitri Taman Sena di sini, Fitri Hakim,40, berkata, kebanyakan peniaga masih belum mendapat pulangan modal dan khuatir operasi perniagaan akan dihentikan serta-merta apabila bermulanya PKP iaitu sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, ketika ini masih banyak baju Melayu tidak terjual dengan harapan stok tersebut dapat dihabiskan pada malam raya.

“Dalam keadaan modal masih belum dapat, dikejutkan pula dengan pelaksanaan PKP. Modal saya kira-kira RM100,000 dan sehingga kini masih belum mendapat pulangan modal. Selalunya orang ramai berbelanja pada malam raya dan masa itu kami boleh mendapat keuntungan.

“Kecewa memang kecewa namun kami tidak boleh berbuat apa-apa. Ramai peniaga terkesan jika operasi terpaksa ditamatkan lebih awal berikutan PKP,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19 membuat keputusan untuk melaksanakan PKP di seluruh negara berkuat kuasa 12 Mei sehingga 7 Jun.

Seorang peniaga baju kanak-kanak, Radzie Zainal, 34, pula berkata, dia cukup terkejut dan kecewa apabila Perlis turut dikenakan PKP.

Katanya, sebaik-sebaiknya Perlis terus kekal dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan apa yang paling penting rentas negeri tidak dibenarkan.

“Modal berpuluh-puluh ribu dan setakat ini hasil jualan tidak sampai RM10,000. Sasaran saya pada malam raya mungkin boleh jual lebih banyak dan mendapat keuntungan,” katanya yang menjalankan perniagaan di bazar berkenaan sejak empat tahun lalu.

Peniaga kuih raya, Nor Shakila Hashim,39, juga berharap agar peniaga diberi kelonggaran berniaga sehingga malam raya.

Di BAGAN SERAI, peniaga pakaian, Fauzi Samat, 52, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian setelah tidak dibenarkan lagi berniaga sedangkan hari-hari terakhir Ramadan adalah waktu untuk mereka mengumpul sedikit keuntungan.

“Berdasarkan pengalaman, pelanggan akan datang pada saat akhir atau pada malam menjelang raya untuk melengkapkan persiapan hari raya mereka.

“Namun apabila PKP diumumkan dan bazar Aidilfitri ditutup lebih awal, pelanggan tidak dapat datang untuk membuat persiapan terakhir,” katanya.

Dia merasakan peniaga kecil sering dijadikan mangsa setiap kali kes Covid-19 meningkat tetapi pasar raya terus dibenarkan beroperasi.

Peniaga pakaian, Suhaizan Abd. Kadir, 49, berkata, dia mengeluarkan modal yang besar untuk berniaga tahun ini dan menjangkakan tiada lagi PKP.

Katanya, dia telah menambah stok pakaian kerana mahu menjualnya sehingga malam raya namun kecewa apabila PKP dilaksanakan.

“Pengumuman kerajaan ini dibuat secara mengejut ketika kebanyakan orang belum membuat persiapan hari raya,” katanya yang mengakui perniagaannya agak perlahan tahun ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya