Pacu sosioekonomi komuniti melalui koperasi - Utusan Malaysia

Pacu sosioekonomi komuniti melalui koperasi

MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) menghadiri program anjuran Angkasa baru-baru ini. Yang hadir sama, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah (dua dari kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu kos sara hidup membelenggu masyarakat sekian lama dan semakin lantang disuarakan ekoran pandemik Covid-19 hingga menyebabkan krisis ekonomi dan menjejaskan kualiti hidup sebahagian besar penduduk dunia ketika ini.

Bagi golongan kurang berkemampuan khususnya dalam kalangan B40 bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi, malah impak sosial masyarakat terutama ramai kehilangan pekerjaan dan kekurangan pendapatan, justeru perlu diwujudkan satu institusi untuk membantu bangkit semula memenuhi keperluan sosioekonomi menghadapi situasi semasa.

Untuk itu, institusi koperasi perlu menjadi tapak penghubung masyarakat untuk sama-sama berganding bahu, mengumpul modal, berkongsi idea dan tenaga untuk bergerak dalam satu kumpulan.

Apa yang menarik, aktiviti perniagaan adalah bergantung kepada keperluan sesuatu komuniti itu dan boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian permintaan dan landskap ekonomi yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

Peranan koperasi membangunkan komuniti dapat dirasai di seluruh pelosok negara apabila 6.1 juta rakyat Malaysia adalah ahli koperasi iaitu 20 peratus jumlah keseluruhan penduduk manakala ia menyumbang sebanyak RM45.8 bilion pada 2019 dan RM21.2 bilion sehingga Jun ini, sekali gus menunjukkannya kekal utuh biarpun situasi Covid-19 dan ekonomi terumbang-ambing.

Aktiviti ekonomi koperasi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi komuniti di sesuatu tempat iaitu daripada menyediakan keperluan asas, meningkatkan peluang pekerjaan, menaja aktiviti komuniti dan meningkatkan kualiti hidup, maka ia mempunyai peranan besar dalam mensejahterakan dan memberi nilai tambah dalam sesebuah komuniti.

Koperasi kariah masjid, rukun tetangga, sekolah, keluarga, siswa dan pelbagai lagi adalah contoh koperasi komuniti yang mana anggotanya di sesuatu kawasan dapat terlibat aktif dalam aktiviti ekonomi yang akhirnya menyumbang manfaat kepada komuniti itu sendiri.

Melalui Pelan Transformasi Koperasi (TransKom) 2021-2025, peranan koperasi dapat diperkasa melalui Bidang Tujahan 1 iaitu Penerapan Nilai Kemakmuran Bersama dengan melaluinya kesedaran masyarakat berkenaan manfaat berkoperasi dipertingkat dalam menambah jumlah penubuhan koperasi sebagai perusahaan sosial.

Melalui Bidang Tujahan 4 pula, ia memfokuskan kepada pembentukan persekitaran yang mapan dan lestari dan ini termasuk menyediakan akses pembiayaan, adaptasi teknologi, program bimbingan dan akses kepada pasaran terbuka sekali gus secara rumusannya pelan disediakan itu bagi meningkatkan lagi impak aktiviti koperasi ke atas kehidupan rakyat dan sumbangannya kepada negara.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sebuah badan apeks gerakan koperasi yang diiktiraf kerajaan mempunyai peranan dan tanggungjawab cukup besar dalam menggerakkan perniagaan gerakan koperasi yang kini berjumlah lebih 14,668 buah di seluruh negara.

Koperasi yang menjadi ahli Angkasa diberi pelbagai bimbingan dan kemudahan dari segi pembangunan, antaranya program seminar berkenaan kepentingan audit dan percukaian koperasi, permohonan Sijil Pematuhan Syariah Angkasa, penjenamaan serta meningkatkan kualiti produk melalui Program Product 100 Champion.

Namun perkhidmatan Angkasa bukanlah kepada ahlinya sahaja kerana sebagai institusi yang mewakili gerakan koperasi seluruh negara, ia menjadi suara dan penghubung koperasi kepada pihak kerajaan dan pihak berkepentingan.

Malah Angkasa giat meningkatkan hubungan kerjasama strategik di peringkat global bagi membuka laluan kepada pasaran produk dan perkhidmatan gerakan ini untuk terus berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Melalui hubungan dan kerjasama erat antara semua pihak, diharapkan gerakan koperasi terus melebarkan peranannya mencukupi keperluan masyarakat dan bergerak maju bagi memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya