LAHORE: Pemenang anugerah Nobel, Malala Yousafzai mengecam Israel dan menegaskan semula sokongannya terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Perkara itu diumumkan berikutan tindak balas di negara asalnya Pakistan mengenai muzikal Broadway yang dihasilkannya bersama bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton.
Malala yang dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada 2014 dikecam oleh sesetengah pihak kerana bekerjasama dengan Clinton, penyokong lantang perang Israel terhadap Hamas.
Muzikal bertajuk Suffs menggambarkan kempen hak mengundi wanita AS pada abad ke-20 dan dimainkan di New York sejak minggu lalu.
“Saya tidak mahu ada kekeliruan mengenai sokongan saya kepada penduduk Gaza. Kita tidak perlu melihat lebih banyak mayat, sekolah dibom dan kanak-kanak yang kelaparan untuk memahami bahawa gencatan senjata adalah mendesak dan perlu.
“Saya telah dan akan terus mengutuk kerajaan Israel atas pelanggaran undang-undang antarabangsa dan jenayah perang,” katanya.
Pakistan menyaksikan banyak protes pro-Palestin yang penuh emosi sejak perang di Gaza bermula Oktober tahun lalu.
“Kerjasama teater Malala dengan Clinton yang menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi AS terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin adalah satu tamparan hebat kepada kredibilitinya sebagai aktivis hak asasi manusia.
“Saya menganggap ia benar-benar tragis,” tulis kolumnis popular Pakistan, Mehr Tarar di platform media sosial X kelmarin.
Walaupun Clinton menyokong kempen ketenteraan untuk menyingkirkan Hamas dan menolak tuntutan untuk gencatan senjata, beliau juga secara eksplisit menyeru perlindungan untuk orang awam Palestin.
The New York Times melaporkan, Malala yang berusia 26 tahun, memakai pin merah dan hitam ketika menghadiri persembahan muzikal Suffs Khamis lalu, menandakan sokongannya untuk gencatan senjata di Gaza.
Tetapi Pengarang dan Ahli Akademik, Nida Kirmani mendakwa keputusan Malala untuk bekerjasama dengan Clinton adalah menyayat hati dan mengecewakan.
Clinton berkhidmat sebagai diplomat tertinggi AS semasa pentadbiran bekas Presiden, Barack Obama yang menyelia kempen serangan dron menyasarkan Taliban di kawasan sempadan Pakistan dan Afghanistan.
Malala memperoleh Hadiah Keamanan Nobel pada usia 17 tahun selepas ditembak di kepala oleh anggota Taliban Pakistan ketika beliau menuntut pendidikan kanak-kanak perempuan pada 2012.










