KUALA LUMPUR: Wartawan Kanan (Eksekutif) Utusan Malaysia, Maszureen Hadzman dinobatkan selaku pemenang tempat ketiga kategori Media Cetak dan Portal Berita pada Anugerah Media SPRM 2023 di Hotel Impiana KLCC, di sini, hari ini.
Laporan yang bertajuk “RM 87.9J Dana Penjana Kerjaya Diseleweng” merangkul tempat ketiga dan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM4,000.
Sebanyak dua kategori telah dipertandingkan iaitu Anugerah Media Cetak dan Portal Berita dan Anugerah Media Elektronik.
Sepanjang tempoh penyertaan dibuka, SPRM telah menerima lebih 20 penyertaan yang akhirnya terdapat seramai enam peserta telah disenarai pendek sebagai pemenang.
Terdahulu, anugerah ini disampaikan sendiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar, Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil dan Timbalan Pengarang Kosmo!, Kosmo! Ahad, Jamdi Nasir.
Penentuan pemenang menyertai Anugerah Media SPRM 2023 telah diadili oleh dua orang pakar media iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Press Institute (MPI), YBhg. Datuk Mustapa Omar dan Penasihat Editorial Bebasnews, YBhg. Dato’ Mohd Zaini Hassan serta dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Tuan Jules Rahman Ong.
Azam Baki berkata, kemenangan pemberita pada majlis ini akan memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada rakan-rakan media yang lain untuk terus menulis dan menerbitkan artikel, rencana, dokumentari dan gambar-gambar yang lebih bermutu bagi dipertandingkan pada Anugerah Malam Media tahun berikutnya.
“Laporkanlah isu-isu rasuah dengan penuh tanggungjawab untuk mendidik masyarakat, dedahkan kepada mereka tentang bahayanya rasuah kepada negara,” katanya.
Anugerah Media SPRM 2023 ini merupakan penganjuran kali keempat sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2020 yang bertujuan mengiktiraf karya-karya kewartawanan berkaitan dengan isu-isu rasuah.










