SEPANG: Pihak-pihak yang disebut dalam laporan agensi berita antarabangsa yang mendakwa kerajaan mengeluarkan lesen untuk membuka kasino di Forest City di Johor perlu mengambil tindakan terhadap agensi berita tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pihak yang menulis kononnya Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) itu perlu bertanggungjawab terhadap laporannya.
“Mereka yang disebut (dalam laporan itu) perlu mengambil tindakan bersesuaian,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Muktamar Islam Malaysia Airlines Berhad (MAB) di sini, semalam.
LESEN
Kelmarin, Anwar menafikan kerajaan mengeluarkan lesen untuk mewujudkan kasino di Forest City berikutan laporan Bloomberg yang memetik sumber menyebut, Perdana Menteri berjumpa dengan Pengasas Berjaya Corp., Tan Sri Vincent Tan dan Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay dalam satu mesyuarat makan tengah hari minggu lalu untuk membincangkan perkara berkenaan.
Berjaya Corp. dalam reaksinya semalam turut menafikan Vincent Tan menyertai rundingan untuk memulihkan pusat peranginan kasino di Forest City seperti dilaporkan.
“Kami ingin menjelaskan bahawa Vincent Tan tidak mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan sedemikian dan menyangkal dakwaan tidak tepat yang dilaporkan dalam artikel itu,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Di Johor, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri itu.
MAJU
Menurut beliau, kawasan pembangunan Forest City tidak memerlukan premis seperti itu untuk berkembang maju, sebaliknya bergantung kepada inisiatif-inisiatif ekonomi yang sedang dirancang kerajaan negeri dan Pusat.
“Sejarah jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor telah ditutup.
“Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor. Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini.










