Ahli akademik ‘biasa-biasa’ tidak perlu diundang – Anwar

Ahli akademik ‘biasa-biasa’ tidak perlu diundang – Anwar

ANWAR Ibrahim merasmikan Majlis Pelancaran Kampus dan Upacara Pecah Tanah Simulasi Penerbangan Akademi Malaysia Airlines Berhad di Sepang, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ahli akademik yang disifatkan sebagai mediocre scholar atau diterjemahkan sebagai bertaraf biasa tidak perlu dibawa masuk ke Malaysia sebagai pensyarah pelawat.

Itu penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai ahli akademik Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley yang menimbulkan kontroversi berhubung kenyataan biadab beliau terhadap Malaysia ketika menyampaikan ceramah di Universiti Malaya (UM), kelmarin.

“Mediocre scholar (ahli akademik biasa-biasa) tidak sepatutnya dibawa masuk sebagai pensyarah pelawat pada awalnya.

“Selebihnya, Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir) sudah jelaskan,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Pelancaran Kampus dan Upacara Pecah Tanah Simulasi Penerbangan Akademi MAB di sini semalam.

Gilley seorang Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat menerima kecaman selepas beliau menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi.

Beliau mendakwa ahli politik Malaysia mahukan “Holocaust kedua” atau pembunuhan ramai-ramai bangsa Yahudi.

Gilley turut menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis pecah tanah itu, Anwar mahu Kementerian Pengangkutan, Malaysia Aviation Group Bhd. (MAG) dan Khazanah Nasional Berhad kerjasama bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia Airlines.

Katanya, bekerja dalam satu pasukan dengan prinsip kete­lusan, pengurusan kepimpinan, tatakelola baik dan mengelak pembaziran boleh menyelamatkan syarikat itu dan memberi pulangan semula kepada seluruh pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN