IPOH: Sebuah kereta Mercedes-Benz W123 pemberian Allahyarham Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menjadi antara kenangan terakhir buat Mohmad Walid Ahmad Shawaluddin, 66.
Menurut Mohmad Walid, kereta milik Allahyarham itu dihadiahkan kepadanya ketika dia bekerja sebagai tukang kebun di rumah Mufti Perak itu.
“Tan Sri hadiahkan saya kereta itu untuk mudahkan hantar anak-anak ke sekolah bersama cucunya sendiri.
“Kereta itu antara kereta kesayangan Tan Sri tetapi diberikan kepada saya. Mungkin Tan Sri khuatir dengan keselamatan saya sebab ketika itu saya hanya menggunakan kereta lama untuk ke sana sini.
“Kalau mahu diikutkan, bukan sahaja kereta, banyak lagi pemberian lain beliau kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini hari ini.
Menceritakan peribadi tokoh agama itu sepanjang 11 tahun perkhidmatannya, Mohmad Walid berkata, Allahyarham tidak pernah melayannya sebagai pekerja sebaliknya layanan sama diterima sama seperti ahli keluarga.
Malah katanya, dia yang tinggal berjiran di hadapan kediaman Allahyarham juga menyifatkan Allahyarham seorang yang sangat mengambil berat perihal jiran tetangga.
“Banyak jasa Tan Sri kepada kami di sini. Rumah ini, beliau yang bantu baik pulih, malah barang dalam rumah pun banyak yang beliau beri. Anak-anak saya membesar dan bersekolah pun beliau tolong.
“Jadi, apabila tahu beliau telah meninggal dunia, rasa sedih dan sebak. Saya pergi ke tanah perkuburan untuk melihat beliau untuk kali terakhir, namun hanya mampu di luar pagar saja,” katanya.
Sementara itu, isteri Mohmad Walid, Asmak Idris, 58, memberitahu, kali terakhir mereka berjumpa Harussani semasa melawat Allahyarham yang dirawat di hospital kerana strok, tahun lalu.
Katanya, ketika itu Allahyarham masih mengenali mereka suami isteri meskipun dalam keadaan sukar untuk bercakap.
“Kebiasaannya setiap kali hari raya, Tan Sri pasti suruh kami suami isteri datang bawa anak-anak. Selagi tidak datang, beliau akan hubungi minta kami datang beraya.
“Tan Sri seorang yang sangat merendah diri. Beliau bahasakan dirinya sebagai saya manakala isteri beliau (Puan Seri Ainon Abdul Ghani) pula bahasakan diri dengan panggilan makcik,” katanya.
Harussani, 82, meninggal dunia pada pukul 2.45 petang tadi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) setelah dirawat kerana positif Covid-19.










