YAN: Mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian dan hampir reput ditemukan terapung di kedudukan kira-kira 6.5 batu nautika barat Pulau Telur di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, mayat tersebut ditemui oleh seorang tekong bot memancing di kawasan perairan itu pada pukul 10.30 pagi.
Menurutnya, tekong terbabit menghubungi Balai Polis Tanjung Dawai di sini untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat itu.
Katanya, polis kemudian bergegas ke lokasi bersama Angkatan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan berjaya menaikkan mayat tersebut.
“Kita tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat terbabit dan berdasarkan keadaan mayat yang hampir reput dan mangsa dipercayai meninggal lebih dalam tempoh tiga hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Shahnaz, semakan awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan IPD Yan serta Balai Polis Tanjung Dawai mendapati tiada laporan berkaitan orang hilang di laut diterima.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati lemas sehingga keputusan bedah siasat dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.- UTUSAN ONLINE










