Lebih dua dekad bertapak dalam industri muzik tanah air, kumpulan nasyid, Inteam tidak pernah melupakan jasa Hijjaz yang menjadi antara individu penting dalam membentuk perjalanan awal kerjaya seni mereka.
Bermula sebagai anak didik ketika masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Inteam mengambil peluang untuk membalas jasa kumpulan nasyid lagenda itu dengan menerbitkan album serta menganjurkan konsert khas buat mereka.
Syah atau Mohd Syahril Abdul Khalid berkata, Hijjaz merupakan insan yang membuka laluan buat mereka dalam industri muzik menerusi lagu-lagu hits Inteam meskipun pada ketika itu masih bergelar mahasiswa.
“Ketika menghasilkan album Kasih Kekasih dan lagu Inang Kasih, kami masih belajar di UIAM. Hijjaz yang mencungkil bakat dan membantu menaikkan nama Inteam.
“Lagu-lagu yang dihasilkan Hijjaz untuk kami ketika itu semuanya mendapat sambutan yang sangat baik. Jadi, memang besar jasa mereka dalam perjalanan awal kerjaya kami.
“Sekarang, Hijjaz sudah bergerak dengan syarikat masing-masing, manakala kami pula mempunyai syarikat yang berpengalaman menganjurkan beberapa konsert.
“Jadi, kami rasa sudah tiba masanya untuk membalas jasa mereka. Kami mahu menggunakan kepakaran yang ada untuk menghasilkan konsert buat Hijjaz pula,” katanya.
Tambah Syah, pengalaman Inteam menganjurkan beberapa konsert sebelum ini, termasuk konsert ulang tahun ke-25 kumpulan itu di Idea Live Arena, memberikan keyakinan untuk menggalas tanggungjawab sebagai penganjur konsert Hijjaz.
“Sebelum ini, kami menganjurkan konsert untuk Inteam sendiri. Kali ini, kami mahu melakukannya untuk Hijjaz pula. Kami mahu melihat abang-abang Hijjaz berada di tempat yang sepatutnya.
“Walaupun ada cabaran sepanjang proses penganjuran, kami tetap berusaha menjayakannya. Mungkin selepas ini kami boleh melakukan perkara sama untuk kumpulan nasyid lain pula, Insya-Allah,” kongsinya.
Mahu lahirkan pelapis industri nasyid
Bagaimanapun, Inteam turut menyatakan hasrat untuk memberikan lebih tumpuan kepada usaha melahirkan bakat baharu menerusi syarikat rakaman mereka, Inteam Records.
Menurut Hazamin, sudah tiba masanya untuk mereka membantu mengetengahkan generasi baharu yang mampu memberi pembaharuan kepada muzik nasyid.
“Kami mungkin akan lebih memberikan perhatian kepada usaha melahirkan artis baharu. Di bawah Inteam Records, kami mempunyai kumpulan Zayne dan beberapa penyanyi solo yang kami terbitkan.
“Hijjaz juga sudah mempunyai generasi pelapis mereka. Jadi, generasi baharu inilah yang perlu tampil dengan elemen lebih segar,” katanya.
Pada masa sama, Hazamin tidak menafikan cabaran memperkenalkan karya baharu kepada pendengar memandangkan sebahagian besar peminat masih cenderung mahu mendengar lagu-lagu lama yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.
“Kami sudah menghasilkan berpuluh-puluh lagu baharu, tetapi peminat tetap mahu mendengar lagu-lagu lama.
“Sebab itu, antara perancangan kami selepas ini adalah untuk menghasilkan semula beberapa lagu lama dan menyelang-selikannya dengan karya baharu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Inteam Record bakal menganjurkan Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah yang bakal berlangsung di IB pada 16 dan 17 Oktober ini.
Konsert tersebut bukan sekadar sebuah persembahan nostalgia, sebaliknya menjadi penghargaan terhadap perjalanan, karya, persahabatan, perjuangan serta legasi Hijjaz yang mewarnai perkembangan industri nasyid tanah air selama tiga dekad.











