Jerebu boleh serang mata - Utusan Malaysia

Jerebu boleh serang mata

PEMANDANGAN Menara Berkembar Petronas yang kelihatan samar-samar ekoran jerebu teruk ketika tinjauan di sekitar Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jerebu bukan sekadar mengancam sistem pernafasan, malah boleh menyerang mata secara langsung sehingga menyebabkan keradangan, mata kering, kerosakan kornea dan dalam kes tertentu menjejaskan penglihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar Perunding Oftalmologi Columbia Asia Hospital Klang, Dr. S. Siva Kumar berkata, mata antara organ paling terdedah kepada pencemaran udara kerana permukaannya berhubung secara langsung dengan persekitaran.

Beliau berkata, peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ke paras tidak sihat menyebabkan mata terdedah kepada pelbagai bahan pencemar termasuk zarah halus, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon dan sebatian organik toksik.

Katanya, bahan pencemar itu boleh berasal daripada kebakaran hutan, pembakaran terbuka, pelepasan kenderaan dan aktiviti perindustrian sebelum terperangkap dalam udara, khususnya ketika keadaan atmosfera tidak bergerak.

“Kornea dan konjungtiva hanya dilindungi lapisan air mata, menyebabkan bahan kimia di udara boleh larut terus ke dalam lapisan pelindung itu, manakala zarah halus pula boleh mendap pada permukaan mata.

“Keadaan ini boleh mencetuskan tindak balas keradangan dan mengganggu keseimbangan kimia yang diperlukan bagi memastikan permukaan mata kekal sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam tempoh jangka pendek, pendedahan kepada jerebu boleh menyebabkan konjungtivitis akibat kerengsaan kimia atau alahan dengan gejala termasuk mata merah, pedih, rasa terbakar, gatal dan berair secara berlebihan.

Mata juga boleh terasa seperti dimasuki pasir atau benda asing apabila zarah pencemar melekat pada permukaannya manakala kerengsaan yang berterusan boleh menyebabkan seseorang terdorong menggosok mata.

Dr. Siva Kumar berkata, perbuatan menggosok mata ketika terdapat zarah halus di bawah kelopak mata boleh menyebabkan lecetan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini