TEMERLOH: Isteri kepada anggota polis yang ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di rumah sewanya di Lorong Permai Timur 9 di Sibu, Sarawak menelefon suaminya, Norhalim Tumiran, 24, lebih 50 kali tetapi tidak diangkat sekali gus menimbulkan tanda tanya ahli keluarga.
Nurfitrah Ramli, 24, berkata, dia begitu gusar dan memikirkan perkara tidak baik kerana biasanya suami akan menjawab walaupun ketika bertugas.
Menurutnya, ketika cubaan seterusnya dia mendapat panggilan daripada rakan suaminya memaklumkan kejadian tragis itu kira-kira pukul 8 malam.
”Saya amat terkejut mendengar berita tidak diduga itu yang berlaku kira-kira pukul 7.30 petang itu dan saya hampir pengsan kehilangan orang tersayang di bulan Ramadan ini dan menjelang Aidilfitri.
“Suami ada berhasrat membawa kami tinggal di Sibu. selepas Hari Raya Aidilfitri ini. Nampaknya hasrat suami tidak kesampaian,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Damar, Lanchang di sini.
Norhalim dilaporkan maut setelah disyaki terkena tembakan rakannya di sebelah kanan kepala dalam kejadian sekitar pukul 7.20 malam kelmarin.
Ketika kejadian, suspek difahamkan sedang bergurau dengan mengacukan pistol sebelum tertekan picu dan melepaskan tembakan ke arah si mati yang sedang bermain permainan video di ruang tamu rumah.
Norhalim meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan NurAlisya, setahun dua bulan.
Nurfitrah berkata, suaminya baharu dua bulan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu selepas menamatkan kursus di Pusat Latihan Polis Segamat.
Jelasnya, selama suaminya berkursus enam bulan di Segamat, dia dan ahli keluarganya tidak pernah bertemu kerana halangan pandemik Covid-19.
“Kami hanya dapat berjumpa dalam tempoh sejam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum suami berangkat ke Sarawak,” katanya.
Ibu Norhalim, Jamilah Daman, 60, memberitahu, mangsa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik sangat berminat menjadi anggota polis sejak kecil.
“Nampaknya cita-citanya tercapai tetapi sayangnya hayatnya dalam kerjaya itu hanya sekejap berikutan kematian tidak diduga itu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin mencadangkan kerajaan supaya menyediakan skim pencen kepada balu bagi membiayai membesarkan anak tunggal pasangan berkenaan.
“Saya bersimpati dengan kejadian di luar dugaan dan berharap keluarga ini bersabar dan reda dengan ketentuan ilahi,” katanya.
Norhalim juga sebelum ini merupakan seorang pemain bola sepak untuk skuad Piala Presiden Pahang pada musim 2015 hingga 2016 bersama beberapa pemain lain yang kini beraksi di Liga Super iaitu Nik Sharif Haseefy, Shahrul Nizam, Nur Izzat dan Zuhair Aizat. – UTUSAN ONLINE










