PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bakal dikenakan di kuarters pekerja lombong timah di Sungai Batu, Batu Talam, Daerah Raub, Pahang bermula lusa hingga 27 Mei ini susulan kes baharu melibatkan seorang petugas rakyat India dikesan Kementerian Kesihatan semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga hari ini, pihak kementerian tersebut sudah melakukan ujian saringan membabitkan 50 orang pekerja lombong timah berkenaan.
Pelaksanaan itu katanya, bertujuan membolehkan ujian saringan awal secara bersasar serta pengesanan kontak rapat untuk mereka menjalani pula proses saringan dan pengasingan.
Lombong bijih timah tersebut merupakan antara projek carigali usaha sama antara pihak syarikat dari luar negara dan tempatan dengan agensi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa PKPD di masing-masing dua lokaliti di Sarawak dan satu lokaliti di Sabah ditamatkan seperti yang telah dijadualkan sebelumnya.
“Ia antaranya melibatkan Kampung Sagah di Jalan Sungai Tengah Matang, Bahagian Kuching dan Sekolah Menengah Kebangsaan Melugu, Bahagian Sri Aman, Sarawak,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Juga tambah beliau, PKPD di Kampung Skim Cocos, Daerah Kunak, Bahagian Tawau, Sabah yang akan berakhir pada Jumaat ini susulan trend penurunan kes dan kluster adalah terkawal.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 236 individu dicekup semalam berbanding 475 individu diberkas kelmarin.
Daripada jumlah itu, katanya, 235 dikompaun manakala seorang direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran atau daftar masuk premis.
Kesalahan tersebut ujar beliau, mencatatkan sebanyak 115 kes, diikuti mereka yang ditahan kerana tidak memakai pelitup muka (50), gagal mematuhi jarak fizikal (16) dan lain-lain (55).
“Tujuh pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan sebuah kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 117 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui enam aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegasnya.










