'Kenapa PKR tak ambil tindakan?' - Wan Saiful - Utusan Malaysia

‘Kenapa PKR tak ambil tindakan?’ – Wan Saiful

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PKR perlu membuktikan jika benar sudah memberikan amaran keras kepada anggotanya bernama Iswardy Morni yang kini disiasat kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, amaran tersebut mestilah diberikan secara rasmi dan bukannya sekadar melalui aplikasi pesanan ringkas.

“Jika benar, tunjukkan bukti amaran keras itu. Ia mesti amaran rasmi. Bukan hantar whatsapp macam kawan-kawan sahaja, tapi sekarang nak dikatakan kononnya amaran keras.

“Sudah beberapa kali pemimpin PKR membela mereka yang menghina institusi raja-raja Melayu secara terbuka? Sebelum ini, Anwar Ibrahim amat lantang membela Fahmi Reza yang menghina Tuanku Permaisuri Agong. Kali ini mahu simpan Iswardy Morni pula?” soalnya dalam dalam satu kenyataan di sini semalam.

Wan Saiful berkata, beliau pelik terhadap PKR yang masih berhelah demi mempertahankan Iswardy sedangkan pautan video yang tular di media sosial secara jelas menghina Seri Paduka.

“Apa lagi bukti yang diperlukan atau adakah pimpinan atasan PKR sengaja memberi ruang kepada Iswardy membangkitkan sentimen rakyat terhadap institusi Agong? PKR sendiri kata ini bukan kali pertama maksudnya, PKR sudah lama tahu tetapi sengaja mengekalkan keahlian Iswardy.

“Mana-mana parti yang setia dan menjunjung institusi raja-raja Melayu sudah pasti tidak akan teragak-agak memecat ahlinya yang berkelakuan begitu. PKR bagaimana,” soalnya.

Semalam, Iswardy yang merupakan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak memuat naik video secara langsung bertajuk ‘Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun Ini’ di YouTube rasmi miliknya.

Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan mendakwa Seri Paduka seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Iswardy sebagai tidak mewakili pendirian parti itu kerana PKR adalah sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu.

Kata Fahmi, ucapan Iswardy dalam beberapa video sebelum ini pernah dibincangkan di dalam Biro Politik PKR dan keputusan telah diambil pada April lalu dengan memberi amaran keras kepadanya.

Malah, tegas Fahmi, Iswardy tidak memegang sebarang jawatan sama ada di peringkat negeri atau Pusat.

Mengulas perkara itu, kata Wan Saiful: “Ini bukan isu sama ada Iswardy mewakili pendirian parti atau tidak. Isunya ialah kenapa PKR tidak mahu ambil tindakan terhadap ahlinya yang terang-terang menghina Yang di-Pertuan Agong? Apa agenda tersirat PKR sebenarnya?” – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN