PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah kesal dengan sikap masyarakat yang masih melakukan pergerakan berikutan keadaan kesesakan di lebuh raya hari ini.
Beliau berkata, pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan.
Menurut beliau, membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha untuk membendung penularan jangkitan virus Covid-19.
“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini? Duduklah di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting.
“Bantulah selamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan kes covid-19 tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Noor Hisham berkata, sekiranya petugas kesihatan rebah, semua orang termasuk ahli keluarga mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya.
Lebih malang, katanya, tiada lagi katil di hospital, apatah lagi jika sakit tenat dan kritikal, katil unit rawatan rapi (ICU) sudah penuh semuanya.
“Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda,” katanya.
Hari ini, para pengguna media sosial tempatan berkongsi situasi kesesakan agak luar biasa di beberapa plaza tol lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju keluar ke Pantai Timur.
Situasi itu dipercayai segelintir pihak cuba ‘lari’ balik ke kampung halaman sebelum perintah berkurung bermula 1 Jun ini.- UTUSAN ONLINE










