MARANG: Kanak-kanak berusia sembilan tahun, Nur Iffika Dahlia Rusli dari Kampung Gong Balai, Mercang di sini sering bertanya kepada kedua ibu bapanya bilakah dia dapat mula bersekolah seperti kakak-kakak yang lain.
Jauh di sudut hati anak keenam daripada lapan beradik itu tentunya dia teringin menjejakkan kaki ke alam persekolahan, merasai suasana berada di dalam kelas, menyiapkan tugasan sekolah di samping berjumpa guru-guru dan rakan-rakan.
Selepas hampir tiga tahun tercicir dalam pelajaran, akhirnya Nur Iffika Dahlia dapat merealisasikan impian ke sekolah apabila menerima sijil kelahiran daftar lewat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut ibunya, Bibi Sopiar Jusoh, 43, ketiadaan dokumen pengenalan diri menyebabkan anaknya terlepas peluang bersekolah selama ini walaupun mempunyai keinginan tinggi untuk belajar.
Katanya, selain Nur Iffika Dahlia, anak bongsunya, Nur Irine Delisha yang berusia dua tahun turut mengalami nasib sama.
“Kelahiran kedua-dua anak lewat didaftarkan kerana pada masa itu kami mempunyai masalah kewangan dan kesihatan, tetapi kami pernah beberapa kali kali cuba mendaftarkan semula cuma tidak berjaya kerana ada dokumen yang tidak lengkap.
“Hasrat itu akhirnya tertangguh bertahun-tahun sehinggalah dibantu jiran yang simpati dengan nasib anak-anak kami,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini.
Penyerahan sijil kelahiran kepada kedua-dua kanak-kanak itu disampaikan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh.
Nur Iffika Dahlia bakal bersekolah di Sekolah Kebangsaan Gong Balai bersama dua kakaknya yang berada di Tahun 5 dan 6.










