ALOR SETAR: Peningkatan kes Covid-19 di negeri ini terutama yang perlu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dibimbangi mempengaruhi rawatan pesakit kronik lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, kadar penggunaan katil ICU di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kini mencapai tahap 92 peratus sekali gus membataskan peluang doktor merawat pesakit kronik yang tidak melibatkan Covid-19.
“Kita bimbang jumlah kes Covid-19 makin banyak. Kita bimbang katil akan penuh dan ini menjejaskan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan di ICU.
“Sehingga doktor menjadi serba salah untuk memilih pesakit yang perlu dirawat di ICU,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar orang ramai supaya menggunakan kesempatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini sebagai pemutus rangkaian wabak Covid-19.
“Jika tiada hal, kekallah di rumah bersama keluarga dan anggaplah setiap kali keluar anda akan terdedah kepada jangkitan ini.
“Ada varian baharu ditemui dan didapati dua kali lebih bermutasi dan ganas,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri turut menyeru penduduk membantu dan memperluaskan lagi kempen pendaftaran vaksinasi di tempat masing-masing.- UTUSAN ONLINE










