Johor catat kesalahan SHMMP tertinggi - Utusan Malaysia

Johor catat kesalahan SHMMP tertinggi

CHONG Fat Full (dua dari kanan) memantau hasil laut yang merupakan antara barangan yang dikawal SHMMP dalam Program Walkabout SHMMP Hari Raya Peringkat Negeri Johor di Segamat, Johor. -UTUSAN/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengeluarkan kompaun sebanyak RM13,700 bagi 98 kesalahan yang dilakukan peniaga sejak Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 dikuatkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, kompaun dikeluarkan selepas pemeriksaan meliputi 3,594 peruncit dan 66 pemborong melalui Op Pantau 2021 bermula 21 April lalu sehingga semalam.

“Kita mengambil kira beberapa faktor seperti mengkaji terlebih dahulu dengan teliti maklumat pengadu, gambar (jika perlu) sebagai bukti kegagalan pemborong atau peruncit dalam menentukan harga barangan kawalan SHMMP.

“Susulan daripada pemeriksaan terperinci sejak 28 hari yang lalu, sebanyak 98 kesalahan telah dikesan sekaligus menjadikan negeri ini mencatatkan kesalahan SHMMP yang tertinggi di Malaysia,” katanya dalam Program Walkabout SHMMP Hari Raya Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.

Fat Full berkata, kesalahan yang mencatatkan kegagalan pematuhan yang tertinggi adalah tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan dengan 62 kes.

Sepanjang pemeriksaan juga mendapati, terdapat 19 kes peniaga gagal mematuhi Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan.

Manakala 17 lagi kesalahan adalah kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

Tambah beliau, pemantauan dan pemeriksaan akan terus dijalankan walaupun hanya berbaki dua hari sebelum SHMMP Hari Raya Puasa 2021 akan ditamatkan esok.

“KPDNHEP negeri akan terus menjalankan pemantauan dari masa ke semasa di mana-mana premis bagi membuat pemantauan agar mereka mematuhi segala undang-undang perniagaan.

“Kita mengingatkan kepada peniaga-peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di samping itu juga, KPDNHEP Johor memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan adalah mencukupi sepanjang tempoh PKP dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat pembelian panik,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya