Jangan abai SOP termasuk di tanah perkuburan - Utusan Malaysia

Jangan abai SOP termasuk di tanah perkuburan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengabaian orang ramai terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) termasuk di tanah perkuburan antara yang dibimbangi dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya juga diberi makluman seringkali berlaku perlanggaran SOP di tanah perkuburan dengan pihak yang terlibat tidak mengikut jumlah kehadiran dibenarkan dalam urusan pengebumian.

“Kerajaan negeri dimaklumkan bagaimana di kuburan ada yang tidak ikut jumlah kehadiran dan ini amat membimbangkan, kita tidak boleh memandang ringan SOP sedia ada kerana ini akan membahayakan nyawa.

“Memang kita kehilangan orang yang disayangi tetapi kena jaga SOP juga supaya tidak berlaku penularan di kuburan pula. Saya berharap masyarakat faham, kita bukan suka-suka nak buat SOP tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.

Aminuddin berkata, sebagai langkah supaya perkara tidak berulang, beliau telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis supaya memaklumkan kepada ahli keluarga dan penduduk yang terlibat mengenai SOP di tanah-tanah perkuburan.

“Di Seremban saya telah minta pihak Majlis Bandaraya Seremban dan pihak berkuasa iaitu polis, jika ada laporan kematian perlu maklumkan SOP itu kepada penduduk yang terlibat, SOP dibacakan ketika penduduk membuat laporan kematian dan pengebumian,” katanya.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa kesal kerana masih ada penduduk di negeri ini yang memandang ringan dan melanggar SOP yang telah ditetapkan.

“Ada yang didapati masih sesuka hati melanggar SOP dan rasakan ini (Covid-19) perkara yang ringan bagi mereka.

“Mereka beranggapan Covid-19 masih perkara biasa yang tidak perlu diambil serius sedangkan jiran, sahabat malah saudara mereka berada dalam keadaan yang cukup sukar. Jangan apabila ia sudah berlaku kepada diri sendiri dan ahli keluarga baru rasa kesal, sedih dan kehilangan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN