Anwar Ibrahim PM terbaik untuk masyarakat Cina, reformasi melangkaui garisan etnik

Anwar Ibrahim PM terbaik untuk masyarakat Cina, reformasi melangkaui garisan etnik

LOH KER CHEAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Baru sepenggal menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat beberapa perubahan berkaitan pendidikan yang memberi manfaat kepada pelajar Cina dan sekolah Cina, sambil tetap mengekalkan keadilan untuk semua rakyat Malaysia.

Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata, bagaimanapun reformasi pendidikan bukan perkara yang perlu dilihat dalam lensa pendidikan untuk orang Cina, bukan Cina atau bumiputera sahaja.

Sebaliknya, sebarang reformasi pendidikan yang dilakukan Kerajaan Madani pimpinan Anwar adalah berfokus kepada usaha menggilap bakat semasa dan membina negara untuk masa depan.

Beliau berkata, merujuk kepada pengambilan matrikulasi, ia tetap kekal dengan nisbah 90:10 antara bumiputera dan bukan bumiputera, tetapi dengan perubahan dasar baharu iaitu murid dengan keputusan SPM 10A dijamin kemasukan ke program matrikulasi tanpa mengira latar belakang, agama dan kaum.

Katanya, sejak sekian lama, mahu tidak mahu kita harus mengakui bahawa wujud rasa curiga dalam kalangan masyarakat Cina terhadap pelaksanaan dasar kerajaan-kerajaan dahulu, dengan tanggapan bahawa dasar pendidikan terutamanya, bersifat berat sebelah dan tidak adil untuk kaum minoriti.

“⁠Justeru, Perdana Menteri cuba menangani situasi ini kerana jika tiada apa-apa dilakukan, ada pihak akan menganggap diri mereka tertindas sementara pihak yang lain akan melihat sentimen curiga yang wujud sebagai keengganan untuk menerima dasar negara.

“Ia sekali gus merencatkan usaha perpaduan nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ker Chean, Anwar cuba memperbaiki keadaan dengan tindakan untuk mengubah sikap masyarakat Cina, membina semula keyakinan mereka terhadap kerajaan ini, bahawa kerajaan tidak akan meminggirkan sesiapa berdasarkan kaum.

Jelasnya, reformasi bukan dilakukan semata-mata untuk meraih undi satu-satu kaum sahaja, malah Anwar melakukan reformasi untuk masa depan semua kaum.

“Kita mesti membebaskan diri daripada pemikiran kalah menang (zero-sum game). Semua kaum harus saling memahami keperluan masing-masing, dan mengimbangi kepentingan masing-masing untuk kebaikan semua,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Anwar tidak pernah memburuk-burukkan Cina di depan masyarakat Melayu, selaras dengan pendekatannya untuk tidak memburuk-burukkan Melayu di depan Cina, atau memburuk-burukkan India di depan Melayu.

Katanya, ia berbeza dengan kecenderungan pemimpin parti lain yang memburuk-burukkan satu kaum di depan kaum yang berbeza, sekali gus menampilkan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk semua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN