KOTA BHARU: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor akan meneruskan tugas sebagai Exco Kerajaan Kelantan sebagaimana diarahkan oleh Menteri Besar.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri berkata, arahan itu dikeluarkan semasa pertemuan dengan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud minggu lalu.
Katanya, setakat ini beliau masih menjalankan tugas dengan selesa tanpa ada diskriminasi, malah diberikan sedikit keistimewaan dalam barisan Exco negeri.
“Sekarang saya beri tumpuan sepenuhnya kepada kerja saya dalam bidang pelancongan. Tiada diskriminasi dan saya dapat layanan agak istimewa apabila turut diserap ke pelbagai jawatankuasa, walaupun tidak berkaitan pelancongan,” katanya ketika ditemui selepas menyambut ketibaan kumpulan pelancong pertama menggunakan penerbangan terus dari Jakarta, Indonesia di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas itu berkata, beliau enggan terlalu memikirkan apa akan berlaku pada masa hadapan dan menyerahkan segalanya kepada keputusan pimpinan Pusat serta takdir Illahi.
“Kita hanya pemimpin peringkat negeri sedangkan keputusan dibuat di peringkat Pusat. Jadi saya serah kedudukan saya kepada takdir Ilahi dan pertimbangan Menteri Besar yang mempunyai kuasa memilih barisan exco negeri.
“Jadi saya fikir tidak payahlah kita habiskan masa dan tenaga untuk fikir apa yang akan berlaku esok. Kita buat apa yang boleh dilakukan hari ini dan untuk esok, kita buat esok pula,” ujarnya.
Kamarudin berkata, beliau enggan menghiraukan suara-suara luar berkaitan hubungan kedua-dua parti serta kedudukannya, kerana yang berhak memutuskan akan berlaku rombakan Exco atau sebaliknya adalah Menteri Besar.
“Menteri Besar yang ada kuasa untuk merubah kedudukan politik dalam pentadbiran kerajaan. Yang lain (suara-suara luar), dia nak kata apapun, ikut dialah,” ujarnya. – UTUSAN










