Hospital swasta sebagai PPV percepat PICK - Utusan Malaysia

Hospital swasta sebagai PPV percepat PICK

LEE Tian Hock (kiri) dalam sidang akhbar Mesyuarat Agung Tahunan Ke-87 'Negeri Sembilan Chinese Maternity Association (NSCMA)' di Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan kerajaan membenarkan klinik dan hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) dilihat dapat mempercepatkan perjalanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Hospital Pakar CMH, Datuk Lee Tian Hock berkata, langkah itu merupakan satu keputusan yang baik sekali gus sasaran 80 peratus penduduk mendapat vaksinasi Covid-19 dapat dicapai dengan lebih cepat.

“Melibatkan hospital swasta akan mempercepatkan proses (vaksinasi) untuk mencapai imuniti berkelompok 80 peratus seperti yang disasarkan.

“Jika tidak, dalam tempoh dua tahun pun kita tidak akan mencapai sasaran itu. Jika hanya bergantung kepada pusat kesihatan kerajaan, kita tak boleh mencapai 80 peratus penduduk divaksin. Kita mesti mendapat kerjasama semua hospital swasta untuk mencapainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-87 ‘Negeri Sembilan Chinese Maternity Association (NSCMA)’ di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sebanyak 299 buah hospital dan klinik swasta di seluruh negara sudah mula beroperasi dan bersedia untuk dijadikan sebagai PPV dalam PICK.

Menurut beliau, jumlah tersebut adalah daripada 2,448 buah hospital dan klinik swasta yang telah berdaftar untuk dijadikan sebagai PPV.

Dalam pada itu Tian Hock memberitahu, Hospital Pakar CMH juga telah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan untuk menjadi sebagai salah satu PPV swasta.

“Kami telah mendaftar dan setakat ini kami telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan untuk menjadi PPV,” katanya.

Sementara itu katanya, pada tahun lalu, Hospital Pakar CMH berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM80.9 juta melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM75 juta.

“Walaupun 2020 merupakan tahun kita menghadapi pandemik Covid-19, namun pendapatan pada tahun tersebut melebihi perolehan pada 2019 iaitu RM79.4 juta, ini bermakna ia merupakan peningkatan sebanyak 1.9 peratus.

“Tetapi keuntungan sebelum susut nilai kami berkurangan sebanyak 90 peratus. Ia disebabkan oleh empat faktor iaitu menampung kos ujian RT-PCR pesakit, elaun Covid-19 kakitangan hospital, kerugian dalam operasi dialisis dan juga kos penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan kakitangan hospital,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN