Kulat biru indigo pertama Malaysia ditemui di Taman Kinabalu

Kulat biru indigo pertama Malaysia ditemui di Taman Kinabalu

SPESIES kulat biru indigo baharu di Taman Kinabalu yang merupakan penemuan pertama genus seumpamanya di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bidang sains negara mencatat sejarah menerusi penemuan spesies kulat biru indigo baharu di Taman Kinabalu, Sabah yang merupakan pertama kali direkodkan di Malaysia.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penemuan itu membuktikan hutan Sabah masih menyimpan khazanah biologi yang belum diterokai sepenuhnya.

Katanya, kejayaan tersebut turut menyerlahkan potensi besar Sabah sebagai antara pusat biodiversiti penting dunia yang terus menawarkan ruang penerokaan kepada komuniti penyelidikan tempatan dan antarabangsa.

“Kulat yang berfungsi sebagai ejen pengurai semula jadi bagi menyuburkan tanah itu ditemukan menerusi kerja lapangan di tiga laluan utama Taman Kinabalu iaitu Bundu Tuhan, Liwagu dan Silau-Silau.

“Kejayaan ini juga mencerminkan peranan UMS sebagai ‘Brain of Borneo’ dalam menerajui penyelidikan biodiversiti ke peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penemuan itu menerusi kajian yang diketuai pakar mikologi UMS, Prof. Madya Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan dengan kerjasama penyelidik Taman-Taman Sabah, pelajar pascasiswazah UMS serta pakar dari University of Turin, Itali.

Kulat nadir yang dinamakan Calocybe kinabaluensis sp. nov. itu mempunyai ciri unik payung (topi) berwarna biru pekat bersaiz antara 34 hingga 120 milimeter dengan insang berwarna putih krim.

Menerusi pembiayaan geran penyelidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), spesimen holotaip kulat berkenaan kini telah diwarta dan disimpan di Koleksi Borneensis (BORH), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN