Hiba kenang sepupu, anak saudara maut dibom Israel - Utusan Malaysia

Hiba kenang sepupu, anak saudara maut dibom Israel

ZAID dan Mariam Talbani yang terkorban dalam serangan udara tentera Israel sehari sebelum Aidilfitri lalu. Jenazah Mariam yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan rumahnya masih belum ditemukan hingga kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Serangan udara rejim Israel yang tidak berkesudahan turut mengorbankan keluarga kepada pelajar Palestin yang kini mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hanan Saad, 33, berkata, sepupunya, Reema Saad, 31, yang hamil empat bulan maut bersama dua anaknya ketika tidur di kediaman mereka di Te­­l al-Hawa di Semenanjung Gaza, sehari sebelum Aidilfitri.

REEMA SAAD

Lebih memilukan, katanya, hingga kini mayat Mariam Talbani, 3, yang merupakan anak bongsu mangsa masih tidak ditemui dalam runtuhan kediaman akibat serangan udara tersebut.

“Mayat Reema bersama anak sulungnya, Zaid, 5, sudah disemadikan tetapi hingga kini jasad Mariam gagal dikesan dan kea­daan ini tentunya meruntunkan lagi hati kami sekeluarga kerana tidak dapat melihat pusaranya.

“Suami Reema, Mohammed, 31, yang parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan setiap masa saya menangis me­ngenangkan nasib keluarga di Gaza,” katanya semalam.

Media melaporkan sekurang-kurangnya empat orang dilaporkan terbunuh dalam serangan udara dilancarkan pasukan tentera Israel di Gaza.

Dalam pada itu, Hanan yang sudah tiga tahun menetap di sini berkata, situasi di Gaza makin memburuk dan berdoa agar kesemua 10 adik-beradik­nya di sana dilindungi Allah SWT daripada keganasan Zionis.

KEDIAMAN sepupu Hanan Saad, Reema Saad yang musnah dalam serangan udara Israel di Tel al-Hawa di Semenanjung Gaza, sehari sebelum Aidilfitri

Katanya, rata-rata rakyat Pa­lestin tidak lena tidur dan sentiasa berjaga-jaga dengan serangan bom yang lazimnya disasarkan pada waktu malam.

“Ibu bapa saya sudah lama meninggal kerana sakit dan kini hanya tinggal kami 11 beradik dan saya sentiasa berhubung dengan mereka setiap masa melalui mesej atau panggilan.

“Panggilan video agak sukar kerana ada masanya mereka perlu berlari menyelamatkan diri jika ada bedilan bom dan saya berharap semua rakyat Pa­lestin terutama di Gaza sentiasa dilindungi Allah SWT,” katanya dalam nada sedih. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN