RAMALLAH: Tentera Israel pada Rabu memusnahkan memorial di seluruh Tebing Barat yang didedikasikan kepada rakyat Palestin yang dituduh membunuh warga Israel atau terbunuh dalam pertempuran sempena memperingati tahun ketiga serangan Hamas pada 7 Oktober.
Menurut jurucakap gabenor wilayah itu, Hala Abu Baker, tentera memusnahkan sebuah monumen batu dan menurunkan poster peringatan di kawasan utara Jenin.
“Memorial untuk syahid yang gugur, Yasser Hamdouni turut dimusnahkan di bandar Yaabad, manakala gambar beberapa syahid diturunkan dari beberapa lokasi di bandar Jenin,” kata Abu Baker.
Hamdouni dituduh membunuh seorang peneroka Israel pada 2003 dan meninggal dunia ketika menjalani hukuman penjara seumur hidup pada 2016.
Rakyat Palestin merujuk mereka yang terbunuh akibat tembakan Israel atau meninggal dunia di penjara Israel sebagai syahid, manakala memorial batu atau poster untuk memperingati mereka sering dilihat di kampung dan bandar di Tebing Barat.
“Tentera Israel bertindak di seluruh Tebing Barat yang diduduki bagi memusnahkan monumen untuk pengganas”, kata jurucakap tentera kepada AFP tanpa secara jelas mengaitkan tindakan itu dengan ulang tahun serangan Hamas yang berpangkalan di Gaza ke atas Israel.
Menurut Timbalan Datuk Bandar, Iyad Bakeer kepada AFP, tentera Israel turut menyerbu bandar Nablus di Tebing Barat dan memusnahkan lima memorial untuk para syahid di beberapa bahagian bandar itu serta menahan puluhan penduduk.
Ahli politik Israel sering mengecam monumen berkenaan kerana menganggapnya sebagai mengagungkan serangan, namun tindakan tentera memusnahkannya jarang berlaku, khususnya di kawasan yang secara rasmi berada di bawah kawalan Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Dalam perkembangan berasingan di Beit Duqqu, tentera Israel memusnahkan rumah seorang lelaki Palestin yang dituduh membunuh seorang peneroka Israel bulan lalu, menurut datuk bandar kawasan itu dan wartawan AFP.
Datuk Bandar, Nazmi Mansour memberitahu AFP, tentera Israel menyerbu bandar itu pada pukul 4 pagi dan mengedarkan risalah yang memaklumkan rumah tahanan Qadri Samara akan dirobohkan.
Wartawan AFP melihat jentolak tentera Israel membersihkan runtuhan sebuah rumah selepas ia diletupkan, ketika sejumlah besar anggota tentera Israel dikerahkan di bandar berkenaan yang terletak di barat laut Baitulmuqaddis.
Tentera Israel secara rutin merobohkan rumah rakyat Palestin yang dituduh melakukan serangan.
Israel berkata, tindakan itu bertujuan menghalang serangan, namun kumpulan hak asasi manusia menuduh rejim itu mengenakan hukuman secara kolektif terhadap anggota keluarga rakyat Palestin terbabit.
Keganasan meningkat dengan ketara di Tebing Barat, yang turut menjadi medan tindakan kumpulan yang bersaing dengan Hamas dalam tempoh tiga tahun sejak serangan 7 Oktober.
Menurut kiraan AFP berdasarkan data Kementerian Kesihatan Palestin, tentera atau peneroka Israel membunuh 1,113 rakyat Palestin di wilayah itu sejak bermulanya perang di Gaza.
Data Israel pula menunjukkan sekurang-kurangnya 49 rakyat Israel, termasuk orang awam dan anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam serangan rakyat Palestin atau ketika operasi ketenteraan Israel dalam tempoh sama.-AFP











