Hasil padi boleh merosot 50 peratus - Utusan Malaysia

Hasil padi boleh merosot 50 peratus

PEMANDANGAN anak padi lembik dan patah setelah ditenggelami air selama beberapa hari akibat masalah saliran di Kampung Sena, Kangar Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Setelah masalah kawasan padi tenggelam di beberapa kawasan negeri ini mula selesai dengan pembukaan pintasan air di projek pembinaan ampang rendah di Denai Larian Sungai Perlis, Pengkalan Asam, namun, kesan kepada pesawah masih dirasai apabila anak pokok padi pula mengalami kerosakan.

Hal demikian boleh menyebabkan hasil padi merosot sehingga 50 peratus dengan keluasan 0.28 hektar dahulu boleh mencapai pendapatan sekitar RM1,500 dan masalah ini bakal menyebabkan pendapatan berkurangan antara RM700 hingga RM800 sahaja.

Petani dari Kampung Sungai Bakong, Mohd Faizal Mohd Arif, 44, berkata, air di kawasan sawahnya mulai surut kira-kira satu meter sejak pintasan tersebut dibuat pada Ahad lalu.

Bagaimanapun katanya, oleh kerana anak padi tersebut yang mula ditabur sejak 10 Ramadan lalu itu tenggelam terlalu lama antara empat hingga lima hari menyebabkan anak pokok tersebut menjadi lembik.

“Kalau dah lembik mungkin kami perlu tabur semula atau sulam dengan anak pokok baharu yang pastinya memakan kos. Masalah lagi akan menyebabkan penyakit atau serangan serangga perosak kerana padi tidak masak sama dengan yang lain.

“Kalau mahu menyulam anak padi baharu pula, kos adalah lebih tinggi daripada tabur semula. Kos dan upah untuk satu ketul anak semaian adalah masing-masing RM8 dan kalau untuk 0.28 hektar perlu sebanyak 40 ketul. Jadi kos untuk satu petak dianggarkan RM640 untuk semaian berbanding RM500 jika tabur semula,” katanya di sini hari ini.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan, kira-kira 500 pesawah di negeri ini mengeluh apabila sawah padi mereka di kawasan seluas 896 hektar ditenggelami air sehingga paras pinggang dengan anggaran kerugian mencecah ratusan ribu ringgit berikutan hujan lebat kebelakangan ini.

Antara kawasan sawah terlibat ialah di Alor Banat; Kampung Teluk; Kampung Seri Gelam; Kampung Sungai Bakong; Kampung Sena dan beberapa kawasan lain.

Masalah tersebut didakwa sudah berulang kali berlaku, malah pesawah turut menyalahkan sistem saliran yang dikaitkan dengan projek pembinaan ampang rendah di Sungai Perlis, Pengkalan Asam di sini oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Rentetan itu, JPS negeri mengalihkan sebahagian bongkah projek pembinaan ampang rendah di Denai Larian Sungai Perlis, Pengkalan Asam bagi membuat pintasan untuk mempercepatkan laluan air.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata, para pesawah juga buntu sama ada dapat menyulam anak padi baharu kerana perlu mencari pihak yang masih menjual anak padi dengan umur yang bersesuaian.

“Jika kami tidak dapat cari anak padi ini, maka terpaksalah dibiarkan sahaja. Sudah tentulah hasil yang diperoleh juga akan jatuh. Kalau dulu boleh dapat kira-kira RM1,500 hingga RM1,800 untuk 0.28 hektar, kini mungkin boleh dapat antara RM700 hingga RM800 sahaja.  

“Lebih-lebih lagi bagi yang banyak menyewa petak sawah kerana kos sewa ada antara RM600 ke RM700. Jadi macam kami tolong usahakan sawah padi sahaja tapi tak dapat pulangan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN