Hamzah tidak perlu rasa bangga - Utusan Malaysia

Hamzah tidak perlu rasa bangga

SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak sepatutnya berasa bangga dengan pengakuan berkaitan kebocoran rakaman suara beliau yang membincangkan pelantikan pegawai kanan polis.

Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pengakuan seperti itu hanya akan menghakis keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, rakyat negara ini berhak mendapat penjelasan berhubung perkara itu kerana Hamzah telah membuat pengakuan secara terbuka.

“Susulan pengakuan Hamzah, saya ingin bertanya apakah yang beliau maksudkan dengan ‘budak kita’ sepertimana dipetik dalam rakaman audio.

“Selain itu, apakah yang Hamzah maksudkan dengan it will be very good for us’. Siapakah us yang dimaksudkan dalam konteks perbualan itu,” soalnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial satu rakaman audio berdurasi 1 minit 22 saat dikatakan mirip suara Menteri Dalam Negeri itu yang antara lain menyentuh berkenaan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam PDRM.

Hamzah semalam mengakui rakaman audio perbualan mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam PDRM yang tular ketika ini adalah suara beliau.

Sheikh Umar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh memberitahu, kelakuan Hamzah saling tidak tumpah umpama watak politikus tidak berintegriti yang mencatur polis dalam filem-filem Tamil.

“Dia tidak wajar berbangga dengan pengakuan yang dilakukan, sebaliknya pengakuan tersebut adalah amat memalukan Malaysia dan merendah-rendahkan imej pasukan PDRM kita.

“Selayaknya, rakyat memandang tinggi integriti PDRM dalam menjalankan tugas berpandukan perlembagaan serta kedaulatan undang-undang. Namun amat malang sekali, tindakan Hamzah hanyalah akan mencemarkan imej PDRM,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN