SEREMBAN: Hanya 12 jemaah membabitkan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid selain tiga jemaah bagi surau dibenarkan menunaikan solat fardu lima waktu dan Jumaat di semua masjid dan surau negeri ini.
Prosedur operasi standard (SOP) itu berkuat kuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 7 Jun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu berikutan kes Covid-19 yang berlaku di masjid dan surau semakin meningkat di negeri ini.
“Ia bukan kluster masjid dan surau namun ada jemaah yang hadir dalam keadaan yang tidak sihat menyebabkan rakan lain terlibat. Pihak kerajaan negeri terpaksa membuat keputusan ini demi kebaikan semua.
“Oleh itu, kerajaan negeri juga telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir termasuk dimaklumkan kepada Datuk Undang Yang Empat bahawa telah bersetuju dengan SOP dengan jumlah jemaah yang dibenarkan untuk masjid adalah 12 orang manakala jemaah surau hanya tiga orang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Bantuan Peduli Palestin Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri dekat sini hari ini.
Menurut Aminuddin, bagi jemaah surau yang dibenarkan seramai tiga orang berkenaan melibatkan imam, bilal dan siak.
“Walaupun bilangan jemaah dihadkan, mereka (pegawai masjid) masih perlu mengisi borang kehadiran dan menjaga SOP di surau mahupun masjid. Selain itu, mereka masih boleh melaungkan azan setiap kali solat fardu,” katanya.
Jelasnya, keputusan itu juga diambil bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin meningkat termasuk jumlah penggunaan katil di dua buah hospital di negeri ini.
Menurut beliau, pihaknya sedia maklum seramai 15 orang pesakit Covid-19 yang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 10 orang pesakit yang menggunakan ventilator dan pada 12 Mei lalu hanya empat orang sahaja pesakit terlibat namun berlaku peningkatan sejak semalam.
Katanya, kes baharu di negeri ini semalam adalah sebanyak 189 dan ini merisaukan ketika Hospital Tampin sudah mencapai 149 orang pesakit daripada 205 katil yang disediakan.
“Selain itu, di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) sebanyak 169 pesakit, kami khuatir kes semakin meningkat, saya berharap penutupan (masjid dan surau) itu demi kebaikan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Aminuddin memberitahu, pihaknya akan menulis surat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi penutupan tempat ibadat bukan Islam di negeri ini.










