MELAKA: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memperuntukkan RM900,000 untuk menaik taraf tiga kolam takungan di Bukit Beruang bagi menangani masalah banjir.
Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Banjir telah meluluskan bantuan segera berkenaan dan sebut harga akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Jelas beliau, kerja-kerja menaik taraf tersebut dijangka selesai sebelum November tahun ini.
“Satu kolam takungan di Bukit Beruang Utama dan dua kolam di Taman Melawis akan terlibat dengan kerja naik taraf ini. Pihak majlis akan pastikan projek disiapkan mengikut perancangan.
“Masalah banjir yang dihadapi penduduk sekitar Bukit Beruang dijangka dapat dikurangkan apabila kerja-kerja menaik taraf selesai kelak,” katanya pada Program Pembersihan Pasca Banjir MPHTJ di Pulau Nibong di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Beberapa kawasan di Melaka termasuk Bukit Beruang terjejas teruk akibat banjir susulan hujan lebat.
Sementara itu, mengenai penutupan pasar borong MPHTJ, Shadan berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengesyaki terdapat tujuh atau lapan peniaga yang menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
Jelasnya, penutupan selama tiga hari bermula semalam membolehkan pihaknya menjalankan kerja-kerja sanitasi dan pembersihan.
“Pihak majlis hanya mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan wujudnya kluster pasar borong. Lebih baik kawal dahulu sebelum ia menular,” katanya.










