Aspek kemenjadian murid jadi faktor utama - Utusan Malaysia

Aspek kemenjadian murid jadi faktor utama

PENTAKSIRAN Bilik Darjah (PBD) dikatakan mampu memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk belajar tanpa terlalu cenderung dalam bidang akademik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemenjadian murid antara aspek penting yang akan dilihat dalam murid-murid sekolah rendah selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, ibu bapa perlu melihat keberhasilan anak-anak mereka kepada aspek kemenjadian potensi dan bukannya dengan ukuran akademik semata-mata supaya mereka mempunyai kelebihan dan bakat tersendiri.

Katanya, sehubungan itu kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) perlu diperkasakan dan proses tersebut berlaku sepanjang masa setiap tahun yang berbeza dengan cara lama yang menjurus kepada tahun peperiksaan yang kadang-kadang mengorbankan subjek lain.

Menurutnya, pemansuhan itu juga akan menjadikan guru tidak lagi terikat dengan orientasi peperiksaan dan mengejar angka ‘A’, tetapi menggunakan kreativiti untuk melihat pengembangan potensi dan bakat pelajar.

“Dari sini guru-guru perlu telus dan jujur dalam menilai murid- murid. Kaedah pengajaran guru akan sentiasa kreatif dan bersifat fleksibel.

“Dengan pemansuhan ini, murid diajar melihat setiap diri mempunyai banyak potensi dan kelebihan, tiada lagi tekanan yang membawa kepada pengasingan murid serta menjadikan mereka rasa rendah diri terutama bagi yang tidak mencapai pencapaian akademik yang baik,” katanya.

Rabu lepas, Kementerian Pendidikan mengumumkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya bermula tahun 2021 manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk tahun ini dibatalkan.

Mohd. Azizee berkata, kementerian juga sudah memperkenalkan sistem Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PPBS) untuk menilai murid dan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus untuk ke sekolah-sekolah pilihan.

“Pentaksiran ini lebih holistik dan melihat semua aspek kemenjadian murid.

“Semua pihak termasuk ibu bapa, guru, murid-murid perlu berganding bahu dan saling menyokong bagi menjayakan transformasi pentaksiran ini demi melahirkan generasi yang kompeten dan mampu berdepan dengan keperluan semasa terutama menghadapi cabaran revolusi industri 4.0 (IR 4.0),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN