Aset NTF perlu dipertingkat perkukuh sempadan demi kedaulatan - Utusan Malaysia

Aset NTF perlu dipertingkat perkukuh sempadan demi kedaulatan

Tentera Darat turut memainkan peranan menjaga sempadan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN anggota, keperluan aset menjadi kunci kepada kejayaan mana-mana operasi membabitkan agensi penguatkuasaan dan keselamatan. 

Seiring dengan perkembangan teknologi terkini, aset canggih amat diperlukan terutama bagi mengekang penyeludup atau mana-mana pihak yang sentiasa mencari muslihat bagi memperdaya pihak berkuasa. 

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan penyeludup turut dilengkapi tekonologi terkini bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa. Justeru Komander Pasukan Petugas Khas (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Tan Abdullah berkata, NTF sedang dalam fasa pembangunan untuk menambah aset moden bagi membantu melaksanakan penugasan kawalan sempadan. 

“Secara ringkasnya, konsep keperluan peralatan yang diperlukan NTF perlu berpaksikan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR). Sistem ini akan mengumpul data dan informasi daripada aset udara seperti dron dan pesawat, aset maritim seperti kapal-kapal yang lebih canggih dan kenderaan darat yang mana ia akan disalurkan kepada Intelligence Integration Centre (IIC) untuk dianalisis.

Komander NTF memeriksa dron milik PDRM

“ Dengan adanya aset- aset baru yang lebih moden, penugasan untuk kawalan sempadan negara akan dapat dimantapkan dan kesiapsiagaan akan dapat dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita baru-baru ini. 

Dalam pada itu Aris Tan berkata, NTF turut menggunakan dron bagi memantapkan pengawasan di sempadan negara.

 “Keupayaan dron bukan sahaja mampu membuat pemantauan udara, malahan imej atau rakaman video yang dirakam mampu membantu dalam membuat pemetaan bagi tujuan pembuktian, pengesahan dan menyediakan predictive intelligence terhadap sebarang ancaman yang disasarkan di samping membantu tugas anggota biasa. 

“Sememangnya penggunaan dron dapat menjimatkan masa dan ia mempunyai kelajuan bagi memperoleh maklumat di samping dapat menggantikan sumber manusia di kawasan sukar dilalui terutama hutan.

 “ Selain itu, aset medium pesawat tanpa pemandu (UAV) yang ditempatkan di atas kapal-kapal juga mampu meluaskan capaian tinjauan sehingga ke kawasan hadapan di persempadanan perairan,” katanya.

omander NTF memeriksa dron milik PDRMMengulas lanjut berkenaan keperluan aset NTF, Aris Tan berkata, aset kritikal yang ada amat diperlukan pada masa kini adalah bot laju bagi memintas penyeludup serta PATI.

“Ada aset yang kita gunakan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang lebih sesuai digunakan sebagai aset barisan hadapan. Sebagai contoh kapal kelas frigat. Bagaimana mahu mengejar penyeludup dengan aset sedemikian? Sebab itu penambahan bot laju penting selain bot sedia ada milik agensi lain.

“Malah, dengan gabungan aset baharu dan pembinaan Pos Terapung (Floating Barge) Gabungan Keselamatan di Pulau Ketam, ia diharapkan dapat memperkukuhkan kawalan sempadan di perairan tersebut,” ujarnya. 

Mengulas mengenai penjimatan wang kerajaan sebaik sahaja NTF ditubuhkan, Aris Tan berkata, terdapat ‘keuntungan’ berdasarkan jumlah kumulatif rampasan dan pengusiran PATI berjumlah RM235.4 juta dan perbelanjaan perolehan aset tahun lalu iaitu RM234 juta.

“Op Benteng telah berjaya memberi pulangan yang baik kepada negara. Nilai kumulatif ini merangkumi Rampasan Barang Bersama Tuan (RBBT) dan Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT). “Selain itu, dengan menghalang dan mengusir kemasukan PATI, penjimatan diperoleh kerajaan yang sebelum ini terpaksa menanggung pengurusan mereka yang ditahan di depot tahanan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN