Dua pengedar ketum dicekup - Utusan Malaysia

Dua pengedar ketum dicekup

KAWASAN hutan yang menjadi lokasi penyimpanan stok ketum di dalam serbuan di Pasir Mas, Kelantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kegiatan dua lelaki memproses dan menjual air ketum sejak tahun lalu berakhir apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama 312 bungkusan minuman itu dalam serbuan di tepi Jalan Pintasan Pasir Mas di sini kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 26 dan 36 tahun itu diberkas selepas cuba melarikan diri ke kawasan hutan sebaik menyedari kehadiran anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa yang menjalankan penugasan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 6.05 petang.

Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sejurus ditahan anggota bertugas melakukan pemeriksaan awal ke atas sebuah Perodua Kelisa dan motosikal yang digunakan suspek menemukan beberapa bungkusan air ketum.

Katanya, hasil soal siasat kedua-dua suspek kemudian membawa anggota ke lokasi penyimpanan stok minuman berkenaan di kawasan hutan.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan hutan itu membawa kepada penemuan sebuah tong ais mengandungi 123 bungkusan air ketum dan tiga kotak polisterin yang masing-masing mengandungi 60 bungkusan.

“Jumlah keseluruhan air ketum yang dirampas ialah sebanyak 312 bungkusan air ketum membabitkan nilai nilai keseluruhan RM23,220 termasuk kereta dan motosikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum sejak Mac tahun lalu.

Katanya, kebanyakan pelanggan datang mendapatkan bekalan di lokasi tersebut pada sebelah petang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kedua-dua suspek bersama barang kes telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua didapati negatif dadah hasil ujian saringan air kencing,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN