Davos Russia dibayangi perang Ukraine

Davos Russia dibayangi perang Ukraine

BENDERA dan logo Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) berkibar di hadapan Muzium Negeri Hermitage menjelang acara pembukaan di Saint Petersburg, Russia kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Dron Ukraine menyerang kemudahan tenaga dan ketenteraan di Saint Petersburg awal pagi semalam ketika pegawai kerajaan sedang berkumpul bagi menghadiri forum ekonomi utama di bandar itu, menurut pihak berkuasa Russia dan Ukraine.

Gabenor bandar berkenaan, Alexander Beglov berkata, beberapa kemudahan infrastruktur mengalami kerosakan, namun tiada kematian dilaporkan dalam serangan itu.

Beberapa pegawai Ukraine pula berkata, serangan tersebut bertujuan mengganggu penganjuran forum selama tiga hari itu yang turut dihadiri Presiden, Vladimir Putin.

Forum pelaburan dikenali sebagai ‘Davos Russia’ itu diadakan ketika Kremlin berdepan pertumbuhan ekonomi perlahan dan ketegangan berterusan dengan Barat susulan perang di Ukraine.

Forum yang memasuki edisi kelima sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraan ke Ukraine pada 2022, bermula hanya beberapa jam selepas serangan dron dan peluru berpandu yang mengorbankan ramai penduduk di Kyiv.

Russia mendakwa serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan maut ke atas sebuah asrama di wilayah Luhansk yang dikuasainya.

Dipinggirkan oleh negara Barat sejak pencerobohan ke atas Ukraine, forum tahun ini diserta oleh pengerusi Suruhanjaya Seni Halus AS, Rodney Mims Cook Jr., yang menyelia projek peluasan dewan besar Rumah Putih di bawah pentadbiran Presiden, Donald Trump.

Turut hadir pempengaruh konservatif AS, Candace Owens dan berkemungkinan personaliti internet, Andrew Tate.

Kremlin berkata, ini merupakan persidangan pelaburan Russia pertama yang menerima penyertaan dari AS sejak 2017 hingga 2018.

Walaupun Ukraine tidak disebut secara langsung dalam program rasmi forum itu, konflik yang berlarutan antara kedua-dua negara dijangka menjadi topik yang membayangi keseluruhan acara.

“Persoalannya ialah sama ada perang ini akan berakhir atau kita perlu berdepan masa depan yang jauh lebih sukar,” kata seorang peserta Russia kepada Reuters tanpa mendedahkan namanya.

Ekonomi Russia berkembang 10 kali ganda kepada kira-kira AS$2.3 trilion (RM9.15 trilion) pada 2013, tahun sebelum Russia menjajah Crimea dari Ukraine, menurut data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Sejak itu, ekonomi Russia dilaporkan terkesan akibat konfrontasi dengan Barat berhubung isu Ukraine. 

Walaupun mencatat pertumbuhan lebih baik pada 2023 dan 2024, ekonominya diunjurkan sekitar AS$2.9 trilion (RM11.5 trilion) tahun ini, jauh lebih kecil berbanding gabungan kekuatan ekonomi pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bernilai kira-kira AS$45 trilion (RM179 trilion), menurut data kerajaan Russia. 

Ekonomi Russia bergantung kepada komoditi juga memperlahankan pertumbuhan dengan ketara, dengan sekitar 4.9 peratus pada 2024 kepada kira-kira satu peratus tahun lalu, malah mengecil 0.2 peratus pada suku pertama 2026, yang menurut pegawai disebabkan kadar faedah tinggi, sekatan Barat dan pengukuhan mata wang ruble.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN