PONTIAN: UMNO tidak cemas dengan kenyataan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang mendakwa akan mengadakan perbincangan bersama Pas mengenai agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana UMNO lebih awal telah mengadakan perbincangan dengan peringkat tertinggi parti itu menerusi Muafakat Nasional (MN) yang dilaksanakan melalui penubuhan jawatankuasa di peringkat negeri.
Katanya, keputusan berkaitan pembahagian kerusi di peringkat negeri adalah di bawah kepimpinan Pas pusat kerana mereka tidak mempunyai kuasa autonomi untuk membuat keputusan dan sebagainya.
Menurut beliau, setakat ini MN masih berperanan dan berfungsi seperti mana yang dilakukan UMNO Pahang dengan Pas apabila mengadakan rundingan mengenai agihan kerusi baru-baru ini.
“Kami berharap Pas Johor merujuk kepada Pas pusat sebelum membuat keputusan untuk mengadakan perbincangan mengenai agihan kerusi kerana MN masih wujud ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke projek ayam Belanda di Kampung Parit Haji Zain Laut, Api-Api hari ini.
Beliau mengulas tindakan Bersatu Johor yang akan memulakan rundingan pengagihan kerusi bagi menghadapi PRU-15 bersama Pas dan Gerakan tanpa melibatkan UMNO.
Menurut Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal, rundingan tersebut akan dilakukan sebaik sahaja Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan lampu hijau untuk mengadakan mesyuarat itu.
Sementara itu, Ahmad mempersoalkan rasional perbincangan tersebut kerana UMNO lebih awal bersama Pas dalam MN berbanding Bersatu yang hanya baru-baru ini sahaja mengadakan kerjasama dengan Pas.
“Kami menyerahkan kepada pucuk pimpinan Pas pusat bagi membuat keputusan kerana perjanjian piagam yang ditandatangani bersama UMNO pada 2019 masih kekal dan belum terbatal,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, sambutan Jubli Intan UMNO ke-75 pada 11 Mei ini tidak dapat diadakan secara fizikal selepas Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan penganjuran majlis sosial dan sebagainya.
Bagaimanapun kata beliau, UMNO akan mengadakan enam siri ‘Facebook Live’ bagi menjelaskan perjuangan dan jasa-jasa UMNO kepada negara semenjak zaman kemerdekaan sehingga sekarang.
“Ahli-ahli UMNO dan orang ramai yang mengikuti siaran langsung itu diharap dapat memahami dan menghayati sejarah perjuangan UMNO selama 75 tahun yang penuh dengan liku-liku dan cabaran bagi mengangkat martabat orang Melayu.
“Setakat ini, tiga panel telah diundang bagi menjayakan sesi itu antaranya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan saya sendiri selaku Setiausaha Agung UMNO, selain beberapa tokoh lain,” katanya.










