Dua maut sertai bantahan isu hijab di Herat

Dua maut sertai bantahan isu hijab di Herat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HERAT: Dua individu dilaporkan maut selepas pasukan polis Taliban dilaporkan melepaskan tembakan amaran bagi meleraikan satu perhimpunan yang menyaksikan penyertaan golongan wanita bagi membantah tindakan penahanan beberapa wanita lain yang dituduh melanggar kod berpakaian Islam yang ketat di bandar raya Herat, barat Afghanistan.

Pihak medik yang memaklumkan insiden tersebut kepada agensi berita BBC bagaimanapun tidak memperincikan punca kematian secara spesifik manakala beberapa peserta penunjuk perasaan yang lain turut mengalami kecederaan.

Kumpulan penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan lelaki dan wanita itu mula turun ke jalanan selang beberapa hari selepas pegawai kerajaan tempatan Taliban dilapor mula bertindak menangkap wanita yang dianggap tidak memakai hijab dengan betul.

Pihak polis di Herat bagaimanapun menafikan sebarang laporan berhubung kes kematian, namun mengesahkan tindakan mereka menyuraikan perhimpunan tersebut atas alasan mengambil langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan mengekalkan ketenteraman awam.

Setakat ini, kaedah sebenar yang digunakan oleh pihak polis untuk meleraikan protes berkenaan masih belum dapat dipastikan secara jelas.

Beberapa saksi mendakwa pihak berkuasa melepaskan tembakan, namun pihak polis enggan mengesahkan perkara tersebut secara langsung apabila disoal oleh pihak media.

Menceritakan detik cemas itu, salah seorang peserta protes memberitahu AFP pasukan keselamatan telah menggunakan belatan, cemeti serta senjata api bagi menyuraikan orang ramai, selain turut melepaskan tembakan ke udara.

Beliau turut mengesahkan melihat beberapa individu mengalami kecederaan parah dan menyifatkan situasi semasa sebagai amat menakutkan bagi penduduk setempat.

Kenyataan itu turut disokong oleh seorang jurugambar di lokasi kejadian yang mendakwa melihat sendiri anggota keselamatan memukul penunjuk perasaan serta mengacukan senjata ke arah kumpulan itu.

Melalui beberapa klip video yang tular di media sosial, bunyi das tembakan kedengaran dengan jelas ketika kekecohan berlaku disusuli jeritan beberapa wanita yang meminta pihak berkuasa agar tidak memukul para peserta.

Sementara itu, Jurucakap Komando Polis Herat, Sayed Masoud Hosseini mempertahankan tindakan pasukannya dengan mendakwa kumpulan penunjuk perasaan terbabit bertindak di luar kawalan sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Beliau menambah, kumpulan berkenaan sengaja cuba mencetuskan ketegangan politik dengan berselindung di sebalik isu bantahan kewajipan menutup aurat, sedangkan pemakaian hijab merupakan satu ketetapan hukum syariah yang wajib dipatuhi oleh umat Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×