2,000 pemandu teksi termenung lagi sekali - Utusan Malaysia

2,000 pemandu teksi termenung lagi sekali

KETUA Pemuda Negara Negeri Johor, Saiful Bahari (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan kepada Mohd. Zamri Mahazan yang mewakili pemandu teksi bandar di Larkin Sentral di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 2,000 pemandu teksi di kawasan Larkin di sini sekali lagi bakal terjejas pendapatan mereka ekoran pelaksanaan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial atau ‘total lockdown’ yang diumumkan kerajaan bermula Selasa ini.

Menurut seorang pemandu teksi, Mohd. Zamri Mahazan, 48, pendapatan sedia ada juga sudah banyak berkurangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan apabila negara dilanda pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu.

Katanya, sehingga hari ini, dianggarkan ratusan pemandu teksi sudah ‘menggantung kunci’ mereka dan mencari pekerjaan lain apabila tidak lagi boleh mencari makan dengan membawa teksi di negeri ini.

“Kami pemandu teksi di Larkin Sentral ini banyak bergantung kepada penumpang bas, kemasukan pengunjung dari Singapura selain mengambil penumpang di kawasan berhampiran.

“Namun sejak operasi Larkin Sentral menjadi lumpuh dan tidak ada lagi kemasukan pelancong dari negara jiran, pendapatan kami terjejas teruk. Tambahan pula kami terpaksa bersaing dengan pemandu e-hailing yang lain.

“Dengan pelaksanaan ‘total lockdown’ ini, kami berharap pihak kerajaan ada perancangan untuk kami yang akan menerima tempias daripada pelaksanaan tersebut,” katanya ketika ditemui pada penyerahan bakul makanan kepada pemandu teksi di Larkin Sentral di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, terdapat juga syarikat teksi bumiputera yang gulung tikar kerana tidak lagi mampu bertahan dalam bidang tersebut.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan setidak-tidaknya dapat memberikan bantuan one-off sebanyak RM500 seperti yang dilakukan pada tahun lalu.

Bagi Rahizam Ahmad, 53, pula, dia berharap pihak kerajaan dapat tampil dengan pelan bantuan yang lebih konkrit seperti pemberian moratorium bagi bantuan kredit jangka panjang.

Kata Rahizam, pendapatan harian mereka kini tidak sampai RM30 sehari, jauh berbeza berbanding sebelum PKP dilaksanakan iaitu antara RM160 hingga RM170 sehari.

Tambahnya, hendak beralih bidang seperti menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan juga tidak sesuai ketika ini kerana keadaan ekonomi yang tidak stabil.

“Buat masa sekarang, kami terpaksa mengikat perut untuk membolehkan kami membayar sewa kenderaan serta perbelanjaan harian keluarga. Syukur pada bulan lalu menerima bantuan khas daripada Sultan Johor.

“Jika diberikan moratorium, kami dikecualikan bayaran kredit selama beberapa bulan dan perkara ini amat membantu kami,” katanya yang sudah hampir 20 tahun menjadi pemandu teksi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN