17 individu 'patah kaki' sambut raya - Utusan Malaysia

17 individu ‘patah kaki’ sambut raya

HASAN BASRI Yahya (kanan) dan penguat kuasa JAS (tengah) memeriksa salah sebuah motosikal yang dirampas dalam operasi Jumaat lalu. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 17 individu terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa kenderaan masing-masing selepas Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri menyita kesemua motosikal dan kereta yang dibawa dalam operasi bersepadu dijalankan minggu lalu.

Kesemua enam buah kereta jenis Honda Civic ditahan dalam Op Samseng Jalanan, manakala 11 buah motosikal pelbagai jenis disita dalam Op Bising dan kesemua kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Ketua JSPT Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sitaan tersebut merupakan hasil tiga operasi bersepadu dan penahanan 30 individu termasuk 17 lelaki Melayu berusia antara 17 hingga 30 tahun.

“Pada Jumaat lalu, kita telah menahan enam individu selepas dipercayai berlumba haram di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) kira-kira pukul tiga pagi dan kesemua kenderaan jenis Honda Civic telah disita.

“Kita juga telah mengadakan Op Bising dan menahan 15 buah motosikal termasuk pelajar sekolah menengah yang berlumba di kawasan Ayer Keroh, Tanjung Minyak dan Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Tambahnya, JSPT telah mengeluarkan keseluruhan sebanyak 87 saman dalam ketiga-tiga operasi tersebut membabitkan pelbagai kesalahan termasuk nombor pendaftaran, ubah suai ekzos dan aksesori, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran.

“Saman tertinggi dikeluarkan melibatkan motosikal yang disita iaitu melebihi enam saman dengan kebanyakannya terdiri daripada jenis Yamaha Ysuku.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri juga mengeluarkan kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 kesalahan pencemaran bunyi daripada ekzos,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, seramai lima individu termasuk seorang wanita turut ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan di sekitar Bandaraya Melaka.

Katanya, kesemua individu ditahan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.

“Pada hari raya ini, lebih 100 pegawai dan anggota trafik akan menjalankan pemantauan dalam Op Selamat serta Op Rentas bagi memastikan tiada individu cuba meloloskan diri merentas negeri melalui jalan-jalan tikus,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN