SUNGAI PETANI: Seramai 16 lelaki termasuk seorang anggota Rela ditahan ketika sedang berkumpul untuk membeli air ketum di sebuah pondok di Kampung Sungai Layar Hujung di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzly Abu Shah berkata, semua lelaki terbabit yang berusia antara 20 hingga 51 tahun diserbu polis ketika berada di pondok tersebut pada pukul 5.15 petang.
Menurutnya, mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Pasukan Siasatan Khas D9 Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda melalui Op Covid-19 PKP 2021.
“Lelaki terlibat dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 selepas didapati berkumpul dengan tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.
“Kesemua mereka dikompaun di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021 (Aktiviti terlarang bilangan 11)4,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pondok tersebut dipercayai sering menjadi tumpuan penagih ketum di sini untuk membeli air ketum.
Azly memberitahu, siasatan mendapati lelaki yang ditahan itu bukan sahaja membabitkan penduduk tempatan malah ada di antara mereka tinggal di daerah Pendang dan Kuala Lumpur.
Tambahnya, mereka yang ditahan itu bekerja sebagai anggota Rela, peniaga pasar malam, pekerja proses ayam, pekerja hotel, pengawal keselamatan, pembuat kopi dan kru semburan kabus.
Sementara itu katanya, seramai lapan orang daripada lelaki terbabit pula tidak bekerja.
“Kesemua lelaki terbabit dibawa ke IPD Kuala Muda untuk proses kompaun dan dikehendaki menjelaskannya dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan,” katanya.










