122 saman, 38 kompaun dikeluarkan polis - Utusan Malaysia

122 saman, 38 kompaun dikeluarkan polis

DZULKHAIRI Mukhtar (kanan) melihat motosikal yang disita kerana kesalahan ubah suai dalam operasi khas di sekitar Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Polis melancarkan gerakan memburu samseng jalanan dan pemandu mabuk menerusi satu operasi khas yang dijalankan di sekitar Puteri Harbour, Lebuhraya Link Kedua, Lebuh Kota Iskandar dan Bukit Indah di sini.

Susulan operasi sejak 30 April hingga semalam itu, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak 122 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya.

Menurut kenyataan itu, antara kesalahan berkenaan termasuk ubah suai ekzos, ubah suai enjin, tiada lesen memandu, tidak pamer pelekat ‘P’, tiada cermin sisi, lesen memandu tamat tempoh, ubah suai nombor plat kenderaan dan ubah suai struktur asal kenderaan.

“Sementara itu polis turut mengeluarkan 38 kompaun atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam operasi sama, polis menyita 42 motosikal dan 28 kereta dengan dua tangkapan dibuat atas kesalahan memandu melulu dengan berbahaya dan memandu dibawah pengaruh alkohol,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, operasi tersebut dijalankan seramai 20 pegawai dan anggota IPD Iskandar Puteri yang menggariskan beberapa tujuan pelaksanaannya.

“Antara tujuannya adalah untuk memantau pematuhan SOP Covid-19, membanteras aktiviti lumba haram, pemeriksaan pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol, pemeriksaan fizikal kenderaan serta menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalu lintas,” jelasnya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar turut hadir memantau pelaksanaan operasi berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN