KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebarang keputusan mengenai kerjasama politik gabungan itu perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH.
“Setakat ini, belum dimuktamadkan dan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan belum ada apa-apa keputusan yang telah dibuat. Belum lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13): Hala Tuju dan Cabaran, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa pemimpin kanan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan pertemuan dalam satu jamuan makan malam tertutup sempena program Pra PRN Melaka di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka.
Pertemuan itu antaranya dihadiri Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Pengarah Pilihan Raya Melaka yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Ketua Bersekutu Bersatu merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, Datuk Seri R Sanjeevan dan Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim.
Pertemuan berkenaan mencetuskan spekulasi mengenai agenda pertemuan terutama ketika rundingan kerjasama politik menjelang PRN Melaka sedang berlangsung.
Barisan Nasional (BN) juga dilaporkan terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan PH bagi menghadapi PRN Melaka.
Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Dr. Zahid Hamidi berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada ruang perbincangan dengan PH masih terbuka menjelang pilihan raya negeri itu. – UTUSAN











