KUALA LUMPUR: Parti politik perlu mengutamakan kestabilan negara dan tidak menjadikan perbezaan politik sebagai punca pergaduhan sehingga menjejaskan ekonomi Malaysia, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, parti-parti politik ketika ini sedang mencari ‘kawan’ untuk menghadapi PRN Melaka yang masih belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, dalam meraikan amalan demokrasi terbuka, semua parti politik perlu mengambil kira kepentingan kestabilan negara.
“Ini ialah politik, bukan nak bergaduh. Itu konsep saya, jika nak berkawan dengan parti lain, lepas itu esok dengan parti lain dan esok lagi kembali semula dengan parti itu, itulah politik. Yang penting jangan bergaduh, kerana perkara yang paling penting, negara ini mesti stabil.
“Apabila negara stabil, ekonomi boleh bergerak, pelabur boleh datang, yang sudah datang tidak mahu balik, yang belum datang akan datang, sebab mereka tengok Malaysia ialah sebuah negara yang sangat matang dari segi politik,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Tenis Jemputan Raintree di Kelab Raintree Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, kematangan politik penting bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
“Walaupun kita tukar Perdana Menteri tiga kali, tapi dia okay. Kita mahukan kestabilan tersebut.
“Kamu boleh buat apa yang kamu mahu, nak tuduh orang tidak betul, kamu jumpa dekat mahkamah. Tapi kita kena kekalkan demokrasi ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Johari berharap kejohanan seperti dianjurkan Kelab Raintree dapat diteruskan setiap tahun dengan penglibatan lebih ramai golongan belia.
“Jadi hari ini saya datang hanya untuk memberi sokongan kepada mereka dan saya katakan, harapan saya selepas ini perkara ini tidak terhenti.
Jadi setiap tahun patut anjurkan kejohanan seperti ini, terutamanya jika boleh membawa semua generasi muda untuk datang dan berada dalam kelab serta menikmati kemudahan di sini.
“Dan diharapkan suatu hari nanti mereka akan mengambil alih kepimpinan kelab ini,” katanya. – UTUSAN











