PETALING JAYA: Isu tempatan yang dihadapi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang akan menjadi tumpuan Datuk Rais Yasin sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Rais yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka berkata, pengalamannya membawa pembangunan dan menyelesaikan isu rakyat di DUN Paya Rumput akan dijadikan asas untuk dirinya meneruskan agenda sama di Sungai Udang.
Beliau berkata, fokusnya adalah memastikan pembangunan diteruskan, selain menyelesaikan isu asas penduduk termasuk bekalan air, infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan kebajikan.
Katanya, pengalaman sebagai Penyelaras DUN Sungai Udang lima tahun membolehkannya mengenal pasti isu serta keperluan masyarakat setempat secara lebih dekat.
“Bagi saya, ini soal amanah dan tanggungjawab. Apabila kita dengar isu daripada penduduk, kita perlu bawa suara mereka kepada pihak berkaitan dan usahakan penyelesaian.
“Prinsip saya mudah, dengar isu, bawa suara dan usahakan penyelesaian,” katanya.
Rais berkata, pengalaman di Paya Rumput membuktikan pentingnya memastikan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang boleh dirasai masyarakat.
“Di Paya Rumput, pelbagai perkara yang kita janjikan telah kita usahakan dan terlaksana. Pengalaman itu mahu saya bawa ke Sungai Udang sekiranya diberi kepercayaan,” katanya.
Beliau berkata, antara keutamaan di Sungai Udang ialah meneruskan usaha menangani isu bekalan air, paip rosak dan jalan raya, termasuk keperluan komuniti sekitar Kem Terendak dan Kem Sungai Udang.
“Usaha berkenaan antaranya menyaksikan kira-kira 2,000 penghuni Kem Terendak menerima bantuan 25,000 gelen air melalui Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), selain peruntukan RM1 juta bagi kerja membaiki paip rosak dan jalan di Kem Terendak serta Kem Sungai Udang,” katanya.
Rais berkata, beliau mahu memastikan projek pembangunan utama seperti Loji Waste-to-Energy (WTE) Sungai Udang bernilai RM660 juta terus dipantau sehingga siap. Projek yang tertangguh hampir lapan tahun itu kini memasuki fasa pembinaan dan dijangka siap pada 2029.
Dalam masa sama, katanya, pembangunan kemudahan agama dan pendidikan turut menjadi antara keutamaan, termasuk pembinaan masjid baharu di Taman Desa Bertam yang berkapasiti 1,500 jemaah.
“Pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang dinantikan penduduk selama hampir 20 tahun pula dijangka siap pada 28 Mac 2029.
“Projek bernilai hampir RM9.45 juta itu disifatkan sebagai antara usaha penting dalam memastikan keperluan pendidikan agama masyarakat setempat terus diberi perhatian,” katanya.
Sementara itu, katanya, kebajikan keluarga anggota tentera, kemudahan kesihatan serta pembangunan anak muda juga penting dengan lebih banyak ruang disediakan untuk aktiviti sukan, komuniti serta menyuarakan idea dan aspirasi mereka.
“Pembangunan bukan hanya projek besar. Isu air, jalan, sekolah, klinik, kebajikan dan peluang untuk anak muda juga sebahagian daripada pembangunan.
“Kalau diberi mandat, saya mahu memastikan perkara yang rakyat bangkitkan tidak berhenti sebagai aduan, sebaliknya kita dengar, bawa dan usahakan penyelesaiannya,” katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, beliau tetap menyerahkan kepada kepimpinan parti menentukan keputusan berhubung calon dan kawasan yang akan ditandingi pada pilihan raya akan datang. – UTUSAN











