Waktu bazar Aidilfitri dilanjutkan hingga 2 pagi - Utusan Malaysia

Waktu bazar Aidilfitri dilanjutkan hingga 2 pagi

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melanjutkan lagi waktu operasi perniagaan semua bazar Aidilfitri di seluruh negara selama dua jam sehingga pukul 2 pagi pada setiap hari mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tambahan masa itu ekoran rayuan pihak peniaga bazar terbabit kerana waktu sedia ada dianggap agak pendek.

“Kita dimaklumkan bahawa ramai pengunjung hanya pergi ke bazar ini selepas waktu Isyak kerana sibuk berbuka puasa dan juga kebanyakan keluar setelah habis solat sunat tarawih.

“Sebelum ini kerajaan benar setakat 12 tengah malam dan waktu itu pula disifatkan terlalu pendek, maka mesyuarat bersetuju dilanjutkan hingga 2 pagi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berharap tambahan masa itu membolehkan umat Islam melakukan persiapan Hari Raya Puasa tanpa perlu tergesa-gesa bersesak di bazar Aidilfitri kerana waktu dilanjutkan.

Kerajaan pada 29 Mac lalu membenarkan semula operasi bazar Aidilfitri, yang pernah dilarang tahun lepas, dengan waktu perniagaan barangan kering itu bermula 10 pagi setiap hari.

Begitu juga bazar Ramadan yang tiada pada tahun lepas, kembali dibenarkan beroperasi mulai 13 April lalu dengan waktunya ditetapkan antara 3 petang sehingga 8 malam sahaja.

Pada masa sama, Ismail Sabri mengingatkan masyarakat agar mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan ketika mengunjungi bazar Ramadan.

“Kelonggaran ini sebenarnya untuk memudahkan mereka yang sibuk bekerja dan tidak pula sempat memasak untuk berbuka puasa, dapat membeli juadah sebelum balik ke rumah.

“Ini turut memanfaatkan golongan bujang yang berpuasa untuk mendapatkan makanan selain membantu peniaga kecil mencari rezeki tambahan pada sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau kesal banyak berlaku pelanggaran SOP seperti tular menerusi media sosial dan ada beberapa bazar yang terpaksa ditutup oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya