KOTA KINABALU: Walaupun sudah lima dekad berlalu, tragedi Double Six yang meragut nyawa 11 individu termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Allahyarham Tun Fuad Stephens, masih meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga mangsa.
Anak Allahyarham Tun Fuad, Asgari Stephens berkata, tragedi yang berlaku pada 6 Jun 1976 itu bukan sahaja mengorbankan insan tersayang, malah menyebabkan Sabah kehilangan barisan pemimpin muda dan berwibawa.
Menurut beliau, kemenangan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) pada tahun 1976 ketika itu telah mencetuskan harapan baharu dalam kalangan rakyat selepas berdepan pelbagai perpecahan politik sebelum itu.
“Ketika itu wujud rasa optimistik dan keyakinan bahawa masa depan Sabah akan menjadi lebih baik. Namun hanya 53 hari selepas kemenangan tersebut, nahas pesawat pada 6 Jun 1976 telah meragut nyawa para pemimpin berkenaan.
“Mengikut piawaian hari ini, mereka masih sangat muda. Kehilangan pemimpin yang berwibawa, bertenaga dan bersemangat untuk membawa perubahan pada usia yang begitu muda merupakan satu kehilangan yang amat menyedihkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperingati Ulang Tahun Ke-50 Tragedi Double Six bertempat di sini semalam
Asgari berkata, kepimpinan pelbagai kaum yang dibentuk menerusi Berjaya ketika itu mencerminkan semangat perpaduan yang kuat dalam usaha membangunkan Sabah.
Katanya, gabungan pemimpin daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan bahasa membuktikan rakyat mampu bersatu demi mencapai matlamat yang lebih besar untuk negeri ini.
Mengimbau peribadi bapanya, beliau berkata, pengalaman Tun Fuad sebagai penerbit akhbar dan penulis sebelum terlibat dalam politik menjadikan beliau seorang pemimpin yang sentiasa melihat ruang untuk memperbaiki keadaan rakyat dan negeri.
“Bapa saya membesar ketika Sabah berdepan pelbagai cabaran dan mempunyai banyak alasan untuk meragui kemampuannya sendiri.
“Sebab itu saya menyeru rakyat supaya menuntut lebih daripada pemimpin mereka iaitu integriti, kecekapan dan komitmen terhadap seluruh rakyat Sabah, bukannya hanya kepada kelompok tertentu.
“Pada masa sama, kita juga perlu menuntut lebih daripada diri sendiri untuk membina sesuatu yang setimpal dengan segala pengorbanan yang telah dilakukan demi masa depan negeri ini,” katanya.
Dalam tragedi Double Six, Tun Fuad yang baharu 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah maut bersama 10 individu lain apabila pesawat jenis GAF Nomad yang mereka naiki terhempas di Sembulan ketika dalam perjalanan dari Labuan ke Kota Kinabalu.-UTUSAN










