PARIS: Bernadette Chirac, balu kepada bekas presiden Perancis, Jacques Chirac meninggal dunia pada usia 93 tahun, menurut anak perempuan mereka kepada AFP pada Sabtu.
Beliau meninggal dunia dengan tenang dikelilingi ahli keluarga pada malam Jumaat, kata Claude Chirac.
Menurutnya, Bernadette baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-93 pada 18 Mei lalu.
Suaminya yang berkarisma berkhidmat sebagai presiden Perancis dari 1995 hingga 2007 dan terkenal kerana menentang pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq pada tahun 2003.
Chirac meninggal dunia pada 2019.
Bernadette turut setia di sisi suaminya meskipun Chirac terkenal dengan hubungan romantik bersama wanita lain, sesuatu yang diakui oleh kedua-duanya dalam memoir masing-masing.
Beliau juga sempat menyaksikan suaminya menjadi presiden Perancis pertama disabitkan kesalahan rasuah apabila dijatuhi hukuman penjara dua tahun yang digantung pada 2011.
Chirac didapati bersalah kerana menyeleweng dana awam untuk membayar individu yang bekerja bagi parti politiknya ketika beliau menjadi datuk bandar Paris.
Kehidupan keluarga Chirac turut dilanda tragedi apabila anak sulung mereka, Laurence meninggal dunia pada 2016 pada usia 58 tahun akibat serangan jantung selepas bergelut dengan anoreksia sejak 1974.
Namun, Bernadette juga merupakan satu-satunya Wanita Pertama Perancis yang pernah memegang jawatan politik atas kapasiti sendiri, sebagai anggota majlis wilayah di Correze, sebuah jabatan di tengah Perancis, dari 1979 hingga 2015 tanpa putus.
Sifatnya yang sederhana serta penampilan yang sentiasa kemas menjadikan Bernadette sebagai satu ikon tersendiri. – AFP










