UMNO dan Bersatu bergaduh PH dapat manfaat - Utusan Malaysia

UMNO dan Bersatu bergaduh PH dapat manfaat

HASSAN KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Perbalahan politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meningkatkan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk kembali mentadbir kepimpinan negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, PH akan mendapat faedah besar sekiranya PRU ke-15 menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Teka teki politik sudah berakhir, UMNO dan Bersatu sudah berpatah arang, PAS pula sudah tinggalkan kerjasama dengan UMNO dan memilih Bersatu untuk menghadapi PRU dengan kedudukan sebagai kerajaan.

“Jika keadaan kekal seperti sekarang, maka kemungkinan besar dalam PRU-15 ada tiga gabungan politik yang akan berentap iaitu BN, PN dan PH.

“Jika pertembungan tiga penjuru ini berlaku, pihak yang mendapat faedah besar ialah PH,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hassan memberitahu, analisis itu dibuat berdasarkan keadaan semasa setiap parti yang akan bertanding dalam PRU kelak.

“Tumpuan terhadap BN pastinya UMNO yang mempunyai ramai pemimpin yang terkait dengan pelbagai skandal, manakala PN pula dilihat sebagai kerajaan yang menggunakan darurat untuk kekal berkuasa.

“PH perlu atur strateginya untuk menghadapi PRU-15 dengan hanya tiga parti iaitu PKR, DAP dan Amanah. Cukup, jangan tambah dan jangan kurang.

“(Tun) Mahathir Mohamad dan parti Pejuang tidak dalam PH, itu bagus dan tepat. Yang sudah-sudahlah. Tanpa Mahathir, PH mempunyai peluang yang lebih baik menghadapi PRU-15 nanti,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, PH perlu memberi perhatian serius kepada faktor kekuatan politik dari Malaysia Timur, iaitu Sarawak dan Sabah.

“Siapa yang hendak jadi kerajaan dan berkuasa di Putrajaya pada PRU-15 nanti, mestilah mendapat sokongan dari Gabungan Parti-Parti Sarawak dan juga parti Warisan dari Sabah.

“Yang jelas gabungan Bersatu dan PAS dalam PN di peringkat pusat dan nasional besar kemungkinan sukar diterima oleh rakyat Sarawak dan Sabah.

“Dengan keyakinan bahawa PH mempunyai masa depan cerah dengan perkembangan politik semasa, maka PH mesti kekal bersatu dan fokus dalam usaha menghadapi PRU-15 yang semakin dekat waktunya,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi, walaupun PH hanya memiliki pengalaman memerintah selama 20 bulan, namun PH yang berbilang kaum dan berbilang agama, mempunyai agenda reformasi dan bersikap sederhana serta bijaksana adalah pilihan terbaik dalam PRU-15 nanti.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya